☆Tadabbur Kalamullah 16 Zulkaedah 1444H☆
هُمۡ دَرَجَـٰتٌ عِندَ ٱللَّهِۗ وَٱللَّهُ بَصِیرُۢ بِمَا یَعۡمَلُونَ
"Mereka itu (yang menurut keredaan Allah, dan yang mendapat kemurkaanNya), mempunyai tingkatan-tingkatan (pahala atau dosa yang berlainan) di sisi Allah; dan Allah Maha Melihat akan segala yang mereka kerjakan" [Surah Aali-ʿImran 163]
#Ayat sebelum ini dengan jelas mengatakan golongan yang mati dalam keadaan dimurkai Allah akan dihumban ke dalam neraka Jahannam. Begitu juga golongan yang mendapat keredhaan Allah akan dimasukkan ke dalam syurgaNya.
#Namun begitu, dalam ayat ini Allah mengatakan golongan yang beroleh keredhaan Allah swt pun ada beberapa darjat di sisi Allah swt. Kedudukan ahli syurga juga tidak sama. Tingkatan darjat itu adalah bergantung kepada amalan mereka dan berapa kukuhnya keimanan mereka kepada Allah swt.
#Diriwayatkan daripada Abdul Aziz bin ‘Abdillah:
إنَّ أهْلَ الجَنَّةِ يَتَرَاءَوْنَ أهْلَ الغُرَفِ مِن فَوْقِهِمْ، كما يَتَرَاءَوْنَ الكَوْكَبَ الدُّرِّيَّ الغَابِرَ في الأُفُقِ، مِنَ المَشْرِقِ أوِ المَغْرِبِ، لِتَفَاضُلِ ما بيْنَهُمْ قالوا يا رَسولَ اللَّهِ تِلكَ مَنَازِلُ الأنْبِيَاءِ لا يَبْلُغُهَا غَيْرُهُمْ، قالَ: بَلَى والذي نَفْسِي بيَدِهِ، رِجَالٌ آمَنُوا باللَّهِ وصَدَّقُوا المُرْسَلِينَ.
“Sesungguhnya para penghuni syurga dapat melihat ahli ghuraf (orang-orang yang berada di dalam kamar-kamar) di atas mereka, sebagaimana mereka melihat bintang berkilauan yang bertebaran di ufuk timur atau barat. Ini kerana wujudnya perbezaan kemuliaan darjat antara mereka. Sahabat bertanya: "Wahai Rasulullah, adakah itu tempat para nabi yang tidak dimasuki oleh orang lain?" Baginda saw menjawab: "Demi jiwa saya yang berada di tanganNya, (mereka bukanlah hanya para nabi), mereka ialah orang yang beriman kepada Allah Taala dan rasul-Nya)” (Sahih al-Bukhari)
#Begitu juga golongan yang dimurkai Allah, darjat kedudukan mereka juga berbeza. Semakin jahat dan semakin kuat penentangan mereka kepada perintah Allah swt semakin dahsyat azab yang mereka akan hadapi. Ini kerana neraka memiliki beberapa tingkatan sebagaimana yang telah dimaklumkan oleh baginda saw.
#Allah swt Maha Mengetahui di manakah tingkatan mereka dan di manakah mereka patut berada kerana Allah swt yang melihat apa yang mereka kerjakan disepanjang kehidupan mereka. Semuanya terpulang kepada penilaian daripada Allah swt, bukan daripada kita.
#Yang perlu kita lakukan adalah berusaha sebaik mungkin untuk mendapatkan keredhaanNya. Hidup ini adalah tempat untuk kita mencari pahala dengan beramal sebanyak mungkin.
♡Semoga Allah swt merahmati kita dan memasukkan kita semua ke dalam syurgaNya yang tertinggi dan teristimewa. Aamiiin♡
🐊Ust naim
Klik link ini untuk JOIN
http://bit.ly/tadabburkalamullah
Facebook:
https://m.facebook.com/tadabburkalamullah
No comments:
Post a Comment