Monday, 12 June 2023

 JANGAN DISIBUKKAN PANDANGAN SELAIN ALLAH


Ada orang mengadu hatinya sakit dan sedih kerana mengetahui ada orang berkata buruk tentang dirinya di belakang dirinya. Ketahuilah beberapa perkara ini agar sembuh atau sekurang-kurangnya mengurangkan kesakitan tersebut:-


Pertama: Memadai nilai diri kita hanya di sisi Allah SWT. Jangan disibukkan dengan pandangan selain Allah SWT kerana pandangan manusia tidak akan pernah memadai bagi kita, bahkan tidak membawa apa-apa manfaat. Kita tidak akan tinggi dengan pujian mereka mahupun rendah dengan cacian mereka, kerana nilai kita adalah apa yang hanya diperhatikan oleh Allah SWT sahaja, iaitu hati kita. Kebahagiaan akhirat kita dan nilai diri kita adalah "siapa" hati kita, pada pandangan Allah SWT. Jika kita sibuk memerhatikan perhatian makhluk, hilanglah pandangan Allah SWT. Kenapa kita sanggup sibuk dengan pemerhatian dan pandangan yang akan hilang bersama kematian mereka, atau tidak bermanfaat setelah kematian kita, lalu mengabaikan satu-satunya pandangan yang akan bersama-sama kita hingga ke akhirat kelak?


Kedua: Jangan terlalu memikirkannya kerana Allah SWT yang Maha Sempurna lagi Maha Terpuji, begitu juga Nabi -shollallahu 'alaihi wasallam- yang empunya kesempurnaan, juga diperkatakan oleh sebahagian manusia. Kedua-duanya juga ada yang berkata macam-macam. Ini menunjukkan, kata-kata buruk orang tentang kita tidak semestinya mencerminkan keburukan dan kelemahan kita.


Ketiga: Orang yang berkata keburukan kita tanpa sebab, sama ada sempurna sampai tidak ada keburukan sendiri untuk diuruskan, ataupun lemah kerana tidak mampu memperbaiki diri sendiri, lalu sibuk dengan keburukan orang lain. Jika dia seorang yang sempurna, tidak mungkin dia berkata buruk tentang kita di belakang kita kerana itu bukanlah suatu kesempurnaan, tetapi suatu sifat penakut dan kekurangan. Begitu juga jika dia serba kekurangan, sibuk dengan kekurangan dan keburukan kita justeru menambah kekurangan dirinya, bukan menambah kekurangan kita.


Keempat: Orang yang berbicara tentang keburukan kita selalunya memandang sesuatu nilai dalam diri kita, kerana itu dia sibuk memikirkan kita, dan mencari kekurangan itu untuk menurunkan nilai kita pada dirinya. Orang yang tiada nilai kebaikan langsung, tidak akan diperhatikan kekurangannya lagi. Jika kekurangan dan keburukan kita diperhatikan, maksudnya ada nilai kebaikan dalam diri kita.  Maka, ambil yang positif itu untuk lebih positif. Baiki yang buruk itu kerana Allah SWT, bukan untuk makhluk.


Kelima: Orang yang berkata tentang keburukan kita itu, sama ada keburukan itu tiada pada diri kita ataupun ada pada diri kita. Jika memang tiada, kita tidak perlu permasalahkan. Jika memang ada, kita hanya perlu mengambilnya sebagai pelajaran dan sebab untuk dapat terus memperbaiki diri.


Keenam: Ia suatu musahabah kepada kita, daripada Allah SWT. Mungkin kita juga ada berkata tentang keburukan manusia dan keaibannya di belakang mereka tanpa sebab yang syar'ie, lalu Allah SWT mencerminkan buruknya sifat tersebut apabila ianya dilakukan oleh orang lain kepada kita. Perbanyakkan istighfar dan bertaubat atas keterlanjuran dan dosa-dosa kita. Berdoalah kepada Allah SWT agar dikurniakan kesempurnaan dan kebaikan kerana-Nya, bukan untuk dipandang oleh orang lain.


Ketujuh: Umpatan orang kepada kita justeru adalah pahala kita di akhirat. Bersyukurkan kepada Allah SWT kerana kita diberi pahala dengan perbuatan orang lain di samping perbuatan kita yang serba kekurangan, yang tidak tahu apa kedudukannya di sisi-Nya.


Jadikanlah pedoman ini sebagai peringatan dan rawatan terhadap menghadapi hubungan kepada sesama insan. Semoga Allah SWT beri kita kebaikan dalam setiap ketentuan-Nya. Amiin.. Wallahu a'lam....

No comments:

Post a Comment

  NATO-KIEV TERRORISM for BIOLOGICAL WARFARE. Russia’s Chemical Defense Chief KILLED in Moscow Blast Fabio G. C. Carisio December 19, 2024 B...