Thursday, 15 June 2023

 

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

16 Jun 2023 / 27 Zulkaedah 1444H


Mengukuhkan Institusi Keluarga Islam

Muslimin Dan Muslimat yang dirahmati Allah,

Marilah kita bertakwa kepada Allah (s.w.t.) dengan mentaati segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Semoga kita terus dapat membina keluarga kita dalam ketaatan dan ketekunan beribadah kepada Allah (s.w.t.).

Saudara dan Saudari,

Pada minggu lalu, kita telah mendengar pesanan khutbah tentang kepentingan peranan ibu bapa khususnya peranan si ayah dalam membentuk keluarga yang berjaya lagi bahagia. Iaitu keluarga yang dibina atas dasar takwa dan berbekalkan kasih sayang, ketenangan serta rahmah. Ini seperti yang digambarkan dalam Al-Quran di dalam firman Allah (s.w.t.):

Yang bermaksud: “Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu hidup tenang dengannya, dan dijadikan di antara kamu   kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi tanda-tanda bagi orang-orang yang berfikir.” [Al-Rum: 21]


Begitulah agama telah meletakkan panduan yang amat jelas dalam membentuk institusi keluarga dalam usaha kita mencari keredaan Allah (s.w.t) di dunia dan di akhirat. Tiada kekeliruan mahupun kecelaruan apakah bentuk dan rupa institusi keluarga di dalam Islam. Bahawa ia dibina di atas hubungan sah di antara seorang lelaki dan wanita. Al-Quran amat jelas dalam perkara ini. Firman Allah (s.w.t) di dalam Surah An-Najm, ayat 45:

Yang bermaksud: “Dan bahawa sesungguhnya, Dialah yang menciptakan pasangan (dalam bentuk) lelaki dan perempuan.”

Saudara dan saudari,

Meskipun begitu, hari ini terdapat pola pemikiran serta gaya hidup yang boleh menyemai benih-benih kekeliruan dalam pembentukan institusi keluarga. Sebahagiannya memberi gambaran bahawa keluarga boleh juga terbentuk selain daripada seorang lelaki dan wanita. Sebagai seorang Muslim, kita tidak boleh menerima pembentukan keluarga yang bercanggah dengan ajaran agama. Bahkan, ia juga bertentangan dengan struktur dan konsep keluarga yang dipegang oleh sebahagian besar masyarakat dunia.

Generasi muda termasuk anak-anak kita terdedah kepada pola pemikiran ini dan mungkin bingung untuk menghadapi soalan-soalan ini serta cabaran sedemikian. Maka, kita semua berperanan untuk terus membimbing keluarga dan anak-anak kita dalam suasana sosial yang rencam lagi mencabar ini. Begitu juga untuk mengukuhkan lagi institusi keluarga mengikut ajaran agama kita.

Terdapat dua nasihat yang ingin saya kongsikan kepada para jemaah sekalian.

Yang pertama: Teruskan mendidik anak-anak kita dengan pendidikan agama yang lebih menyeluruh lagi komprehensif.

Peranan ibu bapa dalam mendidik anak tidak cukup hanya dengan pembelajaran fardu ain seperti bersolat dan berpuasa. Di samping menanamkan asas-asas agama, ibu bapa hari ini juga perlu memiliki pengetahuan yang wajar untuk membimbing mereka dalam berhadapan dengan persekitaran kehidupan dan zaman masakini. 

Ibu bapa hendaklah mendengar luahan serta pandangan ataupun perspektif anak-anak mereka berkaitan perkembangan sosial seperti ini. Apabila seorang anak itu berasa senang untuk meluahkan pandangan mereka, adalah lebih mudah bagi ibu bapa untuk  berbincang dengan mereka serta memberi panduan berkaitan isu-isu semasa. 

Saudara dan saudari,

Yang kedua: kita perlu menangani kerencaman dan perkembangan hari ini dengan penuh kematangan serta berpandukan hikmah dan rahmah.Walaupun kita menolak suatu aliran, kita tidak seharusnya menghina ataupun mengherdik. Peranan kita adalah untuk mendidik serta membina,  bukan menjatuhkan. Apapun hasil yang kita dambakan, tujuan yang baik tidak mengharuskan sesuatu wasilah atau perantara yang tidak baik.

Sekiranya kita berkeras ataupun mengecam seseorang atau satu kumpulan dengan menggunakan kata-kata kesat lagi menghina, kita hanya menanam sifat kebencian yang boleh membawa kepada permusuhan dan juga menimbulkan silap faham di dalam diri anak-anak kita akan kemurniaan agama. 

Pastinya, apapun yang kita ingin capai, kita tidak inginkan anak-anak kita bertanggapan bahawa agama Islam adalah agama yang mendorong kepada kekerasan ataupun kebencian.


Akan tetapi, sekiranya natijah ikhlas yang kita inginkan adalah supaya manusia mengambil peringatan, maka kita seharusnya mengikut arahan Allah (s.w.t) terhadap Nabi Musa dan Nabi Harun (a.s).

Yang bermaksud: “Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya (iaitu Firaun), dengan kata-kata yang lemah-lembut, semoga ia mengingati ataupun takut". [Taha: 44]

Semoga Allah (s.w.t) memberikan kita kekuatan serta taufiq dan hidayah dalam usaha kita untuk mendidik anak-anak dengan penuh hikmah dan kematangan untuk mengatasi cabaran-cabaran sukar masakini. Amin. Ya Rabbal ‘Alamin.

أَقُوْلُ قَوْلِي هَذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِي وَ لَكُمْ، فَاسْتَغْفِرُوهُ إِنَّهُ هُوَ الغَفُوْرُ الرَّحِيْمُ

 

Khutbah Kedua

الْحَمْدُ للهِ حَمْدًا كَثِيرًا كَمَا أَمَرَ، وَأَشْهَدُ أَن لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِينَ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله، اِتَّقُوا اللهَ تَعَالَى فِيمَا أَمَرَ، وَانتَهُوا عَمَّا نَهَاكُم عَنْهُ وَزَجَرَ. 

أَلَا صَلُّوا وَسَلِّمُوا عَلَى النَّبِيِّ الْمُصْطَفَى، فَقَدْ أَمَرَنَا اللهُ بِذَلِكَ حَيْثُ قَال فِي كِتَابِهِ الْعَزِيزِ: إِنَّ اللهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَـا أَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَ بَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ.

وَارْضَ اللَّهُمَّ عَنِ الخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ المَهْدِيِّينَ أَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ وَعُثْمَانَ وَعَلِيِّ، وَعَن بَقِيَّةِ الصَّحَابَةِ وَالقَرَابَةِ وَالتَّابِعِينَ، وَتَابِعِي التَّابِعِينَ، وَعَنَّا مَعَهُم وَفِيهِم بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ.

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُؤْمِنِينَ وَالمُؤْمِنَاتِ، وَالمُسْلِمِينَ وَالْمُسْلِمَاتِ، الْأَحْيَاءِ مِنهُم وَالْأَمْوَاتِ. اللَّهُمَّ ادْفَعْ عَنَّا الْبَلَاءَ وَالوَبَاءَ وَالزَّلَازِلَ وَالْمِحَنَ، مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ، عَن بَلَدِنَا خَاصَّةً، وَسَائِرِ الْبُلْدَانِ عَامَّةً، يَارَبَّ الْعَالَمِينَ. رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنيَا حَسَنَةً، وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ. 

عِبَادَ اللهِ، إِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالْإِحْسَانِ وَإِيتَاءِ ذِي الْقُرْبَى، وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنكَرِ وَالْبَغْيِ، يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ، فَاذْكُرُوا اللهَ الْعَظِيمَ يَذْكُرْكُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ، وَاسْأَلُوهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ، وَلَذِكْرُ اللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ  يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ. 



No comments:

Post a Comment

  NATO-KIEV TERRORISM for BIOLOGICAL WARFARE. Russia’s Chemical Defense Chief KILLED in Moscow Blast Fabio G. C. Carisio December 19, 2024 B...