Sunday, 18 June 2023

 ☆Tadabbur Kalamullah 30 Zulkaedah 1444H☆


وَلِلَّـهِ عَلَى النَّاسِ حِجُّ الْبَيْتِ مَنِ اسْتَطَاعَ إِلَيْهِ سَبِيلًا


Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat haji dengan mengunjungi Baitullah, iaitu sesiapa yang mampu sampai kepada-Nya [Surah Aali-Imran 97]


#Episod kali ini akan membicarakan mengenai jemaah haji yang memakai pelitup muka (face mask) bagi jemaah haji yang berada dalam Ihram.


#Berkaitan larangan ketika ihram, terdapat beberapa larangan apabila seseorang itu sedang berada dalam keadaan ihram. Antaranya ialah seorang jemaah dilarang untuk memakai pakaian selain dari pakaian ihram.


#Daripada Sayidina Ibn Umar r.a, bahawa seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah saw: "Apakah pakaian bagi orang yang berihram?" Maka jawab Rasulullah saw: “Jangan dipakai baju, serban, seluar, jubah yang ada penutup kepala, khuf (stoking kulit) kecuali jika seseorang tidak mendapati selipar maka pakailah khuf yang telah dipotong apa yang menutup bahagian buku lali dan janganlah memakai pakaian yang telah terkena za’faran atau wars (sejenis minyak wangi)" (HR Muslim)


#Berdasarkan hadis tersebut, pakaian yang berjahit seperti kemeja, seluar, topi dan sepatu adalah dilarang sama sekali untuk dipakai ketika ihram. Bagaimana pula berkaitan memakai penutup muka?


#Menurut ulamak mazhab Syafie, harus hukumnya bagi kaum lelaki yang sedang berihram menutup mukanya seperti mana yang dinyatkan oleh Imam Nawawi di dalam karyanya:


مذهبنا أنه يجوز للرجل المحرم ستر وجهه ولا فدية عليه


"Menurut mazhab kami adalah harus bagi lelaki yang berihram menutup wajahnya serta tiada fidyah ke atasnya" (Lihat: Al-Majmuk Syarh Al-Muhazzab)


#Namun berbeza hukum bagi kaum wanita. Haram hukumnya bagi wanita yang berada dalam keadaan ihram menutup mukanya. Diriwayatkan daripada Sayidina Abdullah bin Umar r.a, beliau mendengar Rasulullah saw bersabda:


نَهَى النِّسَاءَ فِي إِحْرَامِهِنَّ عَنِ القُفَّازَيْنِ وَالنِّقَابِ


"Rasulullah saw melarang wanita yang berada dalam ihram memakai sarung tangan dan niqab” (Sunan Abi Daud)


#Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-89, memutuskan keputusan bahawa jemaah haji dan umrah ketika di dalam ihram diharuskan menutup sebahagian muka dengan memakai mask (penutup mulut dan hidung) serta tidak perlu membayar dam.


#Majelis Ulama Indonesia (MUI)

mengeluarkan hukum tentang pemakaian pelitup muka, maka diharuskan kerana terdapat penularan penyakit berbahaya, cuaca yang ekstrim atau buruk dan terdapat ancaman kesihatan yang mana dengan menanggalkan pelitup muka akan merbahayakan kesihatan.


#Maka berdasarkan pandangan hukum yang telah dinyatakan, hukum memakai pelitup muka adalah seperti mana hukum menutup muka ketika dalam ihram yang mana harus bagi kaum lelaki dan tidak harus bagi kaum perempuan (jika tiada sebarang keperluan dan bahaya penyakit). 


#Namun berdasarkan fatwa semasa dan terkini, hukum memakai pelitup muka (face mask) adalah harus bagi lelaki dan wanita yang berada dalam ihram di musim pandemik atau sebagai salah satu langkah untuk mencegah kadar keboleh jangkitan penyakit, kerana ia adalah sebahagian daripada langkah berjaga-jaga dari dijangkiti wabak. 


♡Semoga rahmat dan perlindungan Allah sentiasa menaungi para Duyufur Rahman, tetamu Allah di sepanjang berlangsungnya musim haji ini. Aamiiin♡


🐊Ust naim

Klik link ini untuk JOIN     

http://bit.ly/tadabburkalamullah


Facebook:

https://m.facebook.com/tadabburkalamullah




No comments:

Post a Comment

  NATO-KIEV TERRORISM for BIOLOGICAL WARFARE. Russia’s Chemical Defense Chief KILLED in Moscow Blast Fabio G. C. Carisio December 19, 2024 B...