☆Tadabbur Kalamullah 14 Zulkaedah 1444H☆
وَما كانَ لِنَبِيٍّ أَن يَغُلَّ ۚ وَمَن يَغلُل يَأتِ بِما غَلَّ يَومَ ٱلْقِيَٰمَةِ ۚ ثُمَّ تُوَفّىٰ كُلُّ نَفسٍ مّا كَسَبَت وَهُم لا يُظلَمونَ
"Dan tiadalah patut bagi seseorang Nabi itu (disangkakan) berkhianat (menggelapkan harta rampasan perang), dan sesiapa yang berkhianat (menggelapkan sesuatu), dia akan bawa bersama pada hari kiamat kelak apa yang dikhianatinya itu; kemudian tiap-tiap seorang akan disempurnakan (balasan bagi) apa yang telah diusahakannya, sedang mereka tidak akan dikurangkan sedikit pun (balasannya)" [Surah Aali Imran 161]
#Kehidupan orang munafik hanya memandang dan memikirkan kepentingan dunia semata-mata. Mereka langsung tidak fikir tentang akhirat. Pernah dalam satu peperangan, ada harta rampasan perang yang hilang. Golongan munafik telah menuduh Nabi Muhammad saw yang mengambilnya. Oleh kerana kejadian itu Allah swt turunkan ayat ini.
#Allah swt mengatakan bahawa tidak layak seorang Nabi dituduh mencuri harta rampasan perang. Hal ini kerana, tujuan Nabi saw berperang bukanlah kerana mahukan harta dan memandang kepentingan dunia. Maka tuduhan golongan munafik itu tersangat jahat dan tidak sepatutnya berlaku. Mereka menuduh sedemikian kerana mereka sendiri yang mementingkan harta benda dan berperang kerana harta dan dunia.
#Kemudian Allah memaklumkan bahawa dalam hukum peperangan, harta rampasan tidak boleh diambil sebelum dibahagikan oleh pemimpin perang. Memang terdapat bahagian yang akan diberikan kepada mereka yang menyertai peperangan itu, tetapi hanya boleh diambil selepas dibahagikan. Jika ada yang khianat yakni ambil sebelum dibahagikan, maka di akhirat kelak dia akan menanggung harta itu dan perlu dibawa untuk diadili oleh Allah swt dan dilihat semua orang (sebagai penghinaan untuknya).
#Ingatlah, setiap orang akan dibalas mengikut apa yang mereka telah lakukan semasa di dunia.
#Daripada Sayidina Sahl bin Sa’d r.a, bahawa Jibril datang dan berkata kepada Rasulullah saw:
وَاعْمَلْ مَا شِئْتَ فَإِنَّكَ مَجْزِيٌّ بِهِ
“Lakukanlah sesuai yang engkau kehendaki, sesungguhnya engkau akan dibalas dengan perbuatanmu tersebut" (HR al-Hakim)
#Dan ketahuilah, Allah swt sekali-kali tidak akan melakukan kezaliman. Maksudnya, apa-apa sahaja yang telah dilakukan daripada kebaikan akan dibalas dengan ganjaran pahala, tidak ada yang tertinggal. Malah akan dibalas dengan lebih lagi daripada apa kebaikan yang dilakukan. Dan jikalau ada yang melakukan kesalahan, akan dibalas dengan yang sama juga tidak dibalas dengan lebih buruk daripada yang dilakukan. Dan tidak akan dikenakan azab kalau tidak melakukan. Inilah keadilan Allah swt
♡Jangan sesekali menuduh orang yang baik sebagai khianat. Jangan sesekali melakukan pengkhianatan dan kezaliman. Ingatlah setiap perbuatan kita akan dihisab dan dibalas mengikut apa yang telah kita lakukan♡
🐊Ust naim
Klik link ini untuk JOIN
http://bit.ly/tadabburkalamullah
Facebook:
https://m.facebook.com/tadabburkalamullah
No comments:
Post a Comment