☆Tadabbur Kalamullah 18 Zulkaedah 1445H☆
وَإِذۡ قَالَ مُوسَىٰ لِقَوۡمِهِۦۤ إِنَّ ٱللَّهَ یَأۡمُرُكُمۡ أَن تَذۡبَحُوا۟ بَقَرَةࣰۖ قَالُوۤا۟ أَتَتَّخِذُنَا هُزُوࣰاۖ قَالَ أَعُوذُ بِٱللَّهِ أَنۡ أَكُونَ مِنَ ٱلۡجَـٰهِلِینَ
Dan (ingatlah), ketika Nabi Musa berkata kepada kaumnya: "Sesungguhnya Allah menyuruh supaya kamu menyembelih seekor lembu betina". Mereka berkata: "Adakah engkau hendak menjadikan kami ini permainan?" Nabi Musa menjawab: "Aku berlindung kepada Allah daripada menjadi salah seorang dari golongan yang jahil (yang melakukan sesuatu yang tidak patut)" [Surah al-Baqarah 67]
#Membaca kisah Nabi Musa Alaihissalam bersama kaumnya Bani Israel, kita rasa amat kagum dan terpegun dengan ketabahan dan kesabaran baginda Nabi Musa tatkala berhadapan dengan kaum yang amat degil, jahil dan biadab.
#Perhatikan kisah ketika baginda Nabi Musa menyampaikan perintah Allah swt supaya menyembelih seekor lembu yang Allah bentangkan kepada kita daripada Surah al-Baqarah ayat 67 hingga 73.
#Mereka mengajukan soalan demi soalan dengan nada dan bahasa yang amat tidak wajar kepada seseorang yang dipilih sebagai utusan Allah kepada mereka.
#Bermula dengan soalan 'adakah engkau main-main?' kemudian tanya pula, apa sifat lembu itu, apa warnanya, apa kegunaannya dan berbagai-bagai soalan yang akhirnya menyusahkan mereka sendiri.
#Rujuk Surah al-Baqarah ayat 68-71:
Mereka berkata pula: "Berdoalah kepada Tuhanmu untuk kami, supaya diterangkanNya kepada kami bagaimana (sifat-sifat) lembu itu?" Nabi Musa menjawab: "Bahawasanya Allah berfirman: Bahawa (lembu betina) itu ialah seekor lembu yang tidak terlalu tua dan tidak terlalu muda, pertengahan (umurnya) di antara itu; maka kerjakanlah apa yang diperintahkan kepada kamu melakukannya" (Ayat 68)
Mereka berkata lagi: "Pohonkanlah kepada Tuhanmu untuk kami, supaya diterangkanNya kepada kami apa warnanya?" Nabi Musa menjawab: "Bahawasanya Allah berfirman: Bahawa (lembu betina) itu ialah seekor lembu kuning, kuning tua warnanya, lagi menyukakan orang-orang yang melihatnya" (Ayat 69)
Mereka berkata lagi: "Pohonkanlah kepada Tuhanmu untuk kami, supaya diterangkanNya kepada kami lembu betina yang mana satu? Kerana sesungguhnya lembu yang dikehendaki itu kesamaran kepada kami (susah kami memilihnya), dan kami insya Allah akan mendapat petunjuk (untuk mencari dan menyembelih lembu itu)" (Ayat 70)
Nabi Musa menjawab: "Bahawasanya Allah berfirman: Sebenarnya (lembu yang dikehendaki itu) ialah lembu betina yang tidak pernah digunakan untuk membajak tanah (sawah bendang), dan tidak pula (digunakan mengangkut air) untuk menyiram tanaman; ia juga tidak cacat dan tidak ada belang pada warnanya". Mereka berkata: "Sekarang baharulah engkau dapat menerangkan sifat-sifatnya yang sebenar". Maka mereka pun menyembelih lembu yang tersebut, dan hampir-hampir mereka tidak dapat menunaikan (perintah Allah) itu" (Ayat 71)
#Namun begitu, Nabi Allah Musa Alaihissalam tetap tenang, mengangkat soalan-soalan bodoh itu kepada Yang Maha Mengetahui dan menyampaikan jawapan yang diterimanya kepada mereka. Tiada sepatah pun terkeluar dari bibirnya kata-kata kesat, tengking atau marah. Hanya ketika mereka bertanya 'adakah engkau main-main?' Baginda menjawab: "Aku berlindung kepada Allah daripada menjadi salah seorang dari golongan yang jahil".
#Ini secara tidak langsung mahu mengingatkan mereka bahawa 'main-main' atau 'mempermain-mainkan' itu bukanlah sifat yang patut ada ada pada seseorang yang berakal dan berilmu. Namun mereka sedikitpun tidak menghiraukan peringatan itu. Sebaliknya terus mengajukan soalan-soalan yang menggambarkan kejahilan dan kebiadapan mereka.
♡Semoga kita semua terutamanya para pendakwah, para pendidik, guru-guru, ibu bapa dan para pemimpin dapat mencontohi kesabaran Nabi Musa Alaihissalam dan menjauhi sikap jahil dan degil kaumnya♡
🐊Ust naim
Klik link ini untuk
http://bit.ly/tadabburkalamullah
Facebook:
https://m.facebook.com/tadabburkalamullah
No comments:
Post a Comment