☆Tadabbur Kalamullah 21 Zulkaedah 1445H☆
قَالَ فَبِمَاۤ أَغۡوَیۡتَنِی لَأَقۡعُدَنَّ لَهُمۡ صِرَ ٰطَكَ ٱلۡمُسۡتَقِیمَ * ثُمَّ لَـَٔاتِیَنَّهُم مِّنۢ بَیۡنِ أَیۡدِیهِمۡ وَمِنۡ خَلۡفِهِمۡ وَعَنۡ أَیۡمَـٰنِهِمۡ وَعَن شَمَاۤىِٕلِهِمۡۖ وَلَا تَجِدُ أَكۡثَرَهُمۡ شَـٰكِرِینَ
Iblis berkata: "Oleh kerana Engkau (wahai Tuhan) menyebabkan daku tersesat (maka) demi sesungguhnya aku akan mengambil tempat menghalangi mereka (dari menjalani) jalanMu yang lurus. "Kemudian aku datangi mereka, dari hadapan mereka serta dari belakang mereka, dan dari kanan mereka serta dari kiri mereka; dan Engkau tidak akan dapati kebanyakan mereka bersyukur" [Surah Al-Aʿrāf 16-17]
#Iblis dan Syaitan merupakan musuh terbesar umat manusia. Iblis dan Syaitan masuk melakukan upaya untuk membawa hasutan, keburukan, kesesatan dan kejahatan ke dalam diri dan kehidupan manusia.
#Al-Hasan menceritakan bahawa pada zaman dahulu terdapat sepohon pokok yang disembah oleh manusia selain daripada Allah. Seorang lelaki datang dengan penuh keazaman untuk menebang pokok tersebut demi mempertahankan kemurnian tauhid dan menyelamatkan manusia dari menyembah sesuatu yang lain daripada Allah.
Di dalam perjalanannya, dia bertemu dengan Iblis yang muncul di hadapannya dalam rupa manusia. Iblis bertanya: “Apa yang engkau mahu?” Dia menjawab: “Aku mahu menebang pokok ini yang manusia sembah selain daripada Allah”
Iblis cuba memalingkan tujuannya dengan berkata: “Engkau tidak menyembahnya. Maka apakah yang memudaratkanmu kalau orang lain yang menyembahnya?”. Dia tidak menghiraukan persoalan itu. Malah tetap bertegas mahu menebangnya. Iblis memujuknya dengan menukar taktik yang lain pula. Katanya: “Mahukah engkau kalau aku tawarkan sesuatu yang lebih baik untukmu?. Engkau tidak usah menebangnya. Dan engkau akan memperoleh dua dinar di sisi bantalmu setiap hari apabila engkau bangun di waktu pagi”.
“Dari manakah datangnya dinar itu untukku?” Tanya lelaki itu dalam keadaaan ragu. “Aku yang akan berikan untukmu!” Jawab Iblis dengan nada yakin. Lelaki itu pun pulang.
Keesokan harinya, apabila bangun dari tidur dia mendapati dua dinar terletak di sisi bantalnya. Hari berikutnya, dia tidak mendapati dua dinar di sisi bantalnya seperti hari sebelumnya. Dia bangun dalam keadaan marah, lantas bergegas menuju ke pokok yang disembah manusia untuk menebangnya. Iblis muncul lagi di hadapannya dan bertanya: “Apa yang engkau mahu?”
Dia menjawab: “Aku mahu menebang pokok ini yang disembah manusia selain daripada Allah!” Iblis berkata: “Engkau bohong. Engkau tidak akan dapat menebangnya!” Lelaki itu tidak menghiraukan kata-kata Iblis. Dia terus meluru ke arah pokok untuk menebangnya. Iblis memukulnya sehingga dia tersembam ke bumi dan mencekiknya sehingga hampir-hampir terputus nyawanya.
Iblis berkata: “Tidakkah engkau tahu, siapa aku? Aku adalah syaitan. Engkau datang kali pertama didorong oleh perasaan marah kerana Allah. Maka aku tidak dapat menewaskanmu. Lalu aku perdayakanmu dengan dua dinar, lantas engkau tinggalkan hasratmu. Hari ini engkau datang di dorong oleh perasaan marah kerana tidak dapat dua dinar. Maka aku dapat menewaskanmu”. (Lihat: Talbis Iblis, Ibn Jauzi)
♡Perhatikan, betapa liciknya tipu daya Iblis. Ia akan menggunakan pelbagai cara untuk menghalang kita daripada melakukan kebaikan. Dan senjata paling berbisa yang dapat menewaskan manusia adalah tawaran harta dan kekayaan. Berhati-hatilah, hanya dengan niat yang ikhlas serta pertolonganNya sahaja dapat menyelamatkan kita daripada tipu daya Iblis durjana♡
🐊Ust naim
Klik link ini untuk
http://bit.ly/tadabburkalamullah
Facebook:
https://m.facebook.com/tadabburkalamullah
No comments:
Post a Comment