Thursday, 30 May 2024

 

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

31 Mei 2024 / 22 Zulkaedah 1445H

Perancangan Kebajikan Diri Untuk Hari Muka

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Marilah kita mempertingkatkan ketakwaan kita kepada Allah s.w.t. Hanya dengan ketakwaan dapat merangsang kita melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya.

Para jemaah sekalian,

Khutbah minggu lalu menekankan tentang kasih sayang kepada anak-anak, termasuk anak-anak angkat dan titipan. Hari ini, mimbar ingin menekankan kepentingan membuat perancangan kebajikan diri sendiri untuk hari muka. Sebelum itu, marilah kita berdoa semoga Allah s.w.t. melanjutkan usia kita semua dengan keberkatan dan keafiatan.

Saudaraku, cuba kita merenung sejenak, hari ini kita masih sihat dan berupaya untuk menunaikan solat Jumaat di masjid. Apakah kita terdaya untuk solat seperti hari ini pada esoknya, minggu hadapan, dan seterusnya? Apakah Allah akan terus meminjamkan nikmat kesihatan dan usia sebaik sahaja kita melangkah keluar dari masjid ini?

Sesungguhnya usia mengejar kita setiap hari. Tubuh badan yang sihat dan kuat sekarang ini akan menjadi lemah dek dimamah usia. Oleh itu, adalah penting untuk kita memanfaatkan masa dan usia kita dengan sebaiknya. Kerana Allah s.w.t. akan menanyakan di akhirat nanti, cara kita menghabiskan usia muda kita. Rasulullah s.a.w. ada mengkhabarkan  dalam sebuah hadis yang bermaksud: "Kedua kaki anak Adam tidak akan berganjak pada Hari Kiamat sehingga dia ditanya tentang umurnya, bagaimanakah dia mengisi kehidupannya? Tentang ilmunya, apakah yang dia lakukan dengan ilmu itu? Tentang hartanya, apakah sumbernya dan bagaimana dia membelanjakannya? Dan tentang tubuh badannya, bagaimana dia menggunakannya." (Hadis riwayat Imam At-Tirmizi).

 

 

Saudaraku yang dikasihi,

Selepas mendengar hadis yang baru dibacakan tadi, perlu juga kita memerhatikan noktah penting berhubung usia dan kesihatan, iaitu ketika kita tidak berupaya untuk membuat keputusan atau menguruskan diri sendiri.

Untuk melakukan ini, kita perlu melantik ahli keluarga atau pengamanah secara rasmi atau bertulis. Dengan perancangan awal, mereka yang dilantik dapat mengurus keperluan kita sesuai dengan cara yang diinginkan. Mereka juga dapat bertindak bagi pihak kita secara langsung apabila kita hilang keupayaan untuk membuat keputusan. Senario ini boleh berlaku kerana lanjut usia, isu kesihatan atau kecederaan yang menyebabkan hilang daya ingatan.

Oleh itu, marilah kita membuat persediaan awal dengan melakarkan langkah susulan, sekiranya sesuatu musibah berlaku. Ini bertepatan dengan anjuran Allah s.w.t.  dalam Surah al-Hasyr ayat 18 yang berbunyi:

Yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah dan hendaklah setiap diri memerhatikan apa yang telah diperbuatnya untuk hari esok, dan bertakwalah kamu kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu lakukan.

Para jemaah yang dihormati,

Di kesempatan ini, izinkan khatib berkongsi  beberapa langkah sebagai panduan buat kita:

Pertama: Selagi kita sihat dan waras, lantiklah individu yang kita percaya sebagai penerima kuasa (Donee) melalui Surat Kuasa Berkekalan (Lasting Power of Attorney atau LPA). Ini agar penerima kuasa dapat menguruskan kebajikan kita seperti urusan kewangan dan kehidupan seharian ketika diperlukan nanti, bersesuaian dengan kemahuan kita. Selain itu, kita juga dianjurkan untuk memanfaatkan Perancangan Penjagaan Awal (Advance Care Planatau ACP) bagi menzahirkan hasrat penjagaan kesihatan kita pada masa depan. 

Kedua: Jika kita adalah seorang anak, mari bersama membantu kedua ibu bapa kita merancang kebajikan mereka. Rujukkan mereka kepada pihak yang dapat membantu menyiapkan Surat Kuasa Berkekalan dan Perancangan Penjagaan Awal. Langkah proaktif ini adalah baik bagi memelihara kesejahteraan ibu bapa kita, dan menghindari sebarang kesulitan yang mungkin berlaku di masa depan. 

 

 

Zumratal Mukminin Rahimakumullah,

Islam menekankan kepentingan membuat persiapan bagi menghadapi cabaran akan datang  sebelum bertawakkal. Ingatlah akan pesanan Rasulullah s.a.w. kepada seorang sahabat yang bermaksud: "Ikatlah unta kamu dan bertawakkallah kepada Allah." (Hadis riwayat Imam At-Tirmizi).

Dengan kita berusaha membuat perancangan yang baik dan teliti, kita sebenarnya berusaha untuk memelihara kesejahteraan buat diri sendiri dan keluarga tersayang. Mudah-mudahan Allah s.w.t. mengurniakan hikmah dan kebijaksanaan buat kita dalam membuat perancangan yang berkesan  untuk masa depan  kita, baik di dunia yang fana’ ini mahupun di hari akhirat yang kekal abadi. Allahumma Amin, Ya Mujibas Saailieen.

أَقُوْلُ قَوْلِي هَذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِي وَلَكُمْ، فَاسْتَغْفِرُوهُ إِنَّهُ هُوَ الغَفُوْرُ الرَّحِيْم

 

 

KHUTBAH KEDUA 

 

الحَمْدُ للهِ حَمْدًا كَثِيرًا كَمَا أَمَرَ، وَأَشْهَدُ أَن لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِينَ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله، اِتَّقُوا اللهَ تَعَالَى فِيمَا أَمَرَ، وَانتَهُوا عَمَّا نَهَاكُم عَنْهُ وَزَجَرَ.

أَلَا صَلُّوا وَسَلِّمُوا عَلَى النَّبِيِّ الْمُصْطَفَى، فَقَدْ أَمَرَنَا اللهُ بِذَلِكَ حَيْثُ قَال فِي كِتَابِهِ العَزِيزِ: إِنَّ اللهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَـا أَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا صَلُّوا عَلَيهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ. 

وَارْضَ اللَّهُمَّ عَنِ الخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ المَهْدِيِّينَ سَادَاتِنَا أَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ وَعُثْمَانَ وَعَلِيِّ، وَعَن بَقِيَّةِ الصَّحَابَةِ وَالقَرَابَةِ وَالتَّابِعِينَ، وَتَابِعِي التَّابِعِينَ، وَعَنَّا مَعَهُم وَفِيهِم بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ. 

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلمُؤْمِنِينَ وَالمُؤْمِنَاتِ، وَالمُسْلِمِينَ وَالمُسْلِمَاتِ، الأَحْيَاءِ مِنهُم وَالأَمْوَاتِ. اللَّهُمَّ ادْفَعْ عَنَّا البَلَاءَ وَالوَبَاءَ وَالزَّلَازِلَ وَالمِحَنَ، مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ، عَن بَلَدِنَا خَاصَّةً، وَسَائِرِ البُلْدَانِ عَامَّةً، يَا رَبَّ العَالَمِينَ. اَللَّهُمَّ انْصُرْ إِخْوَانَنَا اْلمُسْتَضْعَفِيْنَ فِي غَزَّة وَفِي فِلِسْطِينَ وَفِيْ كُلِّ مَكَانٍ عَامَّةً، يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ. اَللَّهُمَّ بَدِّلْ خَوْفَهُمْ أَمْنًا، وَحُزْنَهُمْ فَرَحًا، وَهَمَّهُمْ فَرَجًا، يَا رَبَّ العَالَمِينَاَللَّهُمَّ اكْتُبِ السِّلْمَ وَالسَّلاَم وَاْلأَمْنَ وَاْلأَمَانَ لِلْعَالَمِ أَجْمَع يَا لَطِيْفرَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنيَا حَسَنَةً، وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.

عِبَادَ اللهِ، إِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِالعَدْلِ وَالإِحْسَانِ وَإِيتَاءِ ذِي القُرْبَى، وَيَنْهَى عَنِ الفَحْشَاءِ وَالمُنكَرِ وَالبَغْيِ، يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ، فَاذكُرُوا اللهَ العَظِيمَ يَذْكُرْكُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ، وَاسْأَلُوهُ مِن فَضْلِهِ يُعْطِكُم، وَلَذِكْرُ اللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ. 

 

 

No comments:

Post a Comment

  NATO-KIEV TERRORISM for BIOLOGICAL WARFARE. Russia’s Chemical Defense Chief KILLED in Moscow Blast Fabio G. C. Carisio December 19, 2024 B...