Monday, 27 May 2024

 

Perjanjian IHR, pandemik dibuat ambil kira prinsip kesaksamaan, solidariti - PM

PERDANA Menteri menyampaikan ucapan alu-aluan pada Persidangan Kesihatan Sedunia Ke-77, hari ini. FOTO Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia
PERDANA Menteri menyampaikan ucapan alu-aluan pada Persidangan Kesihatan Sedunia Ke-77, hari ini. FOTO Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia

Kuala Lumpur: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa setiap perjanjian termasuk pindaan Peraturan Kesihatan Antarabangsa (IHR) 2005 dan Perjanjian Pandemik perlu dibuat mengambil kira prinsip kesaksamaan serta solidariti.

Perdana Menteri berkata, Malaysia menyokong prinsip ekuiti dan perpaduan untuk dioperasikan dalam menyemak peraturan kesihatan antarabangsa dan juga sebarang perjanjian pandemik.

"Mengutamakan hak untuk kesihatan memerlukan usaha kolektif untuk menangani ketidaksamaan dan mempertingkat kesediaan untuk kecemasan di masa hadapan. Saya sedar bahawa konsensus untuk perjanjian pandemik dan pindaan kepada peraturan-peraturan kesihatan antarabangsa adalah tidak mudah untuk dicapai. 

"Saya ingin menekankan, ekuiti itu adalah penting dalam sebarang perjanjian untuk menambah baik dengan bermakna pencegahan wabak secara kolektif, kesediaan dan tindak balas.

"Kerjasama akan menjadi kunci dalam bergerak ke hadapan dan mengimbangi sumber dengan objektif kesihatan awam global adalah penting. Hanya selepas itu, bolehlah kita menangani jurang dan ketidaksamaan dalam mencegah dan bertindak balas terhadap pandemik serta kecemasan kesihatan yang lain sambil menjaga kedaulatan hak negara kita," katanya.

Perdana Menteri berkata demikian ketika mewakili Malaysia sebagai negara pertama menyampaikan ucapan alu-aluan secara maya pada Persidangan Kesihatan Sedunia Ke-77 (WHA77) yang berlangsung di Geneva, hari ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, mengetuai delegasi Malaysia ke Geneva, Switzerland bagi menghadiri WHA77 pada 27 sehingga 31 Mei ini.

Dr Dzulkefly berkata antara perkara utama bakal dibincang ialah perkembangan rundingan bagi Pindaan Bersasar IHR 2005 dan rundingan bagi penyediaan Perjanjian Pandemik.

Dalam sama sama, Perdana Menteri dalam ucapannya sempat menyelit isu yang berlaku di Palestin dan masih berlarutan sekarang tanpa penyelesaian.

Beliau mengingatkan masyarakat antarabangsa bahawa apa yang berlaku di Palestin adalah malapetaka kemanusiaan sambil menggesa tindakan tuntas semua pihak bagi membendung krisis terbabit.

"Sungguhpun, sementara kita berbincang mengenai hak untuk kesihatan, amat penting untuk saya ambil peluang ini mengingatkan penonton akan malapetaka kemanusiaan yang dihadapi oleh rakyat Palestin di Gaza. 

"Bukan saja mereka menghadapi kebuluran, kekurangan zat makanan dan penyakit tetapi hospital mereka telah dibom oleh pihak Israel dan pekerja perubatan serta sukarelawan kemanusiaan dibunuh sewenang-wenangnya.

"Oleh itu sekali lagi saya mohon komuniti antarabangsa untuk berusaha lebih bagi menghentikan kekejaman dan memastikan akauntabiliti untuk menuju ke hadapan," tegasnya.


https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2024/05/1094896/perjanjian-ihr-pandemik-dibuat-ambil-kira-prinsip-kesaksamaan-solidariti-pm

No comments:

Post a Comment

Palestinian suffering grows; American politicians stand firmly with Israel – Day 413

  Palestinian suffering grows; American politicians stand firmly with Israel – Day 413 contact@ifamericansknew.org   November 24, 2024 chris...