Sunday, 26 May 2024

 ☆Tadabbur Kalamullah 17 Zulkaedah 1445H☆


لَاۤ إِكۡرَاهَ فِی ٱلدِّینِۖ قَد تَّبَیَّنَ ٱلرُّشۡدُ مِنَ ٱلۡغَیِّۚ فَمَن یَكۡفُرۡ بِٱلطَّـٰغُوتِ وَیُؤۡمِنۢ بِٱللَّهِ فَقَدِ ٱسۡتَمۡسَكَ بِٱلۡعُرۡوَةِ ٱلۡوُثۡقَىٰ لَا ٱنفِصَامَ لَهَاۗ وَٱللَّهُ سَمِیعٌ عَلِیمٌ 


"Tidak ada paksaan dalam ugama (Islam), kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur). Oleh itu, sesiapa yang tidak percayakan Taghut, dan ia pula beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada simpulan (tali ugama) yang teguh yang tidak akan putus. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui" [Surah al-Baqarah 256]


#Berkata Imam at-Thabari rahimahullah: "Ahli tafsir berbeza pendapat tentang makna 'tiada paksaan dalam agama'. Sebahagian mereka berkata ayat ini turun untuk menjawab kemusykilan kaum Ansar atau seorang lelaki dari kalangan mereka yang mempunyai beberapa orang anak yang telah mereka jadikan penganut agama yahudi atau nasrani. Apabila Allah menurunkan Islam, mereka mahu memaksa anak-anak mereka itu agar memeluk Islam. Maka Allah melarang mereka berbuat demikian. Sebaliknya mereka hendaklah membiarkan anak-anak mereka itu sendiri yang memilih untuk memeluk Islam.


#Antara riwayat yang menyebut demikian ialah apa yang diambil daripada Imam Said bin Jubair rahimahullah daripada Ibn Abbas r.a: "Seorang wanita dikatakan miqlat, iaitu selalu kematian anak. Lalu dia bernazar sekiranya ada anaknya yang hidup dia akan menjadikan anak itu yahudi. Ketika Bani Nadhir diusir dari Madinah, terdapat bersama dengan mereka anak-anak orang Ansar (termasuk anak wanita itu). Mereka bertekad tidak akan membiarkan anak-anak mereka bersama yahudi. Lalu Allah turunkan ayat ini". 


#Riwayat yang lain, daripada maula Sayidina Zaid bin Thabit r.a daripada Ikrimah atau Said bin Jubair daripada Sayidina Ibn Abbas r.a: "Ayat ini turun mengenai seorang lelaki Ansar daripada Bani Salim bin Auf bernama Husain. Dia mempunyai dua orang anak yang menganut agama Nasrani sedangkan dia seorang muslim. Dia berkata kepada Nabi saw:" Tidakkah aku harus memaksa kedua-duanya? Sesungguhnya kedua-duanya tidak mahu terima kecuali Nasrani!". Maka Allah menurunkan ayat ini bagi menjawab persoalan itu.


#Jika kita renungi ayat di atas serta sebab turunnya secara mendalam, akan memahamkan kita bahawa Allah swt memberikan kebebasan kepada hambaNya untuk memilih agama mereka. 


#Justeru, tanggungjawab kita sebagai muslim adalah memberi penerangan dengan jelas dan berhikmah supaya nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur). Apabila telah nyata, maka terserah kepada mereka membuat pilihan sama ada menerima kebenaran agama Islam atau masih belum mahu menerima Islam. Tiada sebarang paksaan. 


#Jika mereka masih belum menerima, teruskan usaha dakwah tanpa putus asa. Tidak perlu rasa bersalah jika mereka terus enggan menerima Islam kerana hidayah adalah milik Allah swt.


♡Membawa manusia yang berada di dalam kegelapan untuk menerima cahaya kebenaran adalah satu pekerjaan yang amat berat. Namun begitu, pekerjaan yang mulia inilah merupakan pekerjaan para nabi dan rasul iaitu membawa manusia ke jalan hidayah. Teruskan berdakwah dengan hikmah dan jangan sesekali memaksa mereka menerima Islam♡


🐊Ust naim

Klik link ini untuk     

http://bit.ly/tadabburkalamullah


Facebook:    

https://m.facebook.com/tadabburkalamullah





No comments:

Post a Comment

  PUTIN: “Intel-NATO Centers in Kiev could be targeted in Oreshnik Strikes. Powerful as Meteorites… ” Fabio G. C. Carisio November 28, 2024 ...