Tadabbur Kalamullah 3 Ramadhan 1444H
لَقَدۡ أَرۡسَلۡنَا نُوحًا إِلَىٰ قَوۡمِهِۦ فَقَالَ یَـٰقَوۡمِ ٱعۡبُدُوا۟ ٱللَّهَ مَا لَكُم مِّنۡ إِلَـٰهٍ غَیۡرُهُۥۤ إِنِّیۤ أَخَافُ عَلَیۡكُمۡ عَذَابَ یَوۡمٍ عَظِیمࣲ
“Sesungguhnya Kami telah mengutuskan Nabi Nuh kepada kaumnya, lalu berkatalah ia: “Wahai kaumku! Sembahlah kamu akan Allah, (sebenarnya) tidak ada Tuhan bagi kamu selain daripadaNya. Sesungguhnya aku bimbang, kamu akan ditimpa azab hari yang besar (hari kiamat)” [Surah al-Aʿraf 59]
#Nabi Nuh Alaihissalam diutuskan Allah kepada kaumnya di bumi Mesopotamia, di Iraq. Baginda Alaihissalam menyeru kaumnya agar menyembah Allah swt.
#Nabi Nuh Alaihissalam berdakwah kepada kaumnya mengajak mereka beriman kepada Allah swt, meninggalkan kesyirikan serta sembahan berhala.
#Baginda Alaihissalam memahamkan mereka bahawa hanya Allah swt sahaja Tuhan yang layak disembah. Ini kerana tidak ada lagi Tuhan selain Allah swt. Kaum nabi Nuh Alaihissalam menyembah berhala dan patung yang tidak ada sebarang kuasa bahkan mereka yang membuat patung tersebut dan mereka menyembahnya, meminta kepadanya sedangkan itu bukanlah Tuhan yang sebenar.
#Selain itu, nabi Nuh Alaihissalam memanggil mereka dengan panggilan yang baik يٰقَومِ (wahai kaumku). Inilah cara dakwah yang bagus yang perlu kita contohi dan ikuti. Sebagai pendakwah, maka perlu gunakan bahasa yang baik dengan orang yang hendak didakwah. Jangan digunakan panggilan kasar dan cercaan. Ini akan menjauhkan manusia daripada dakwah. Walaupun begitu, ada ketikanya perlu tegas dan keras tatkala penghinaan terhadap Allah dan agama dilakukan dengan melampaui batasan.
ٱدۡعُ إِلَىٰ سَبِیلِ رَبِّكَ بِٱلۡحِكۡمَةِ وَٱلۡمَوۡعِظَةِ ٱلۡحَسَنَةِۖ وَجَـٰدِلۡهُم بِٱلَّتِی هِیَ أَحۡسَنُۚ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعۡلَمُ بِمَن ضَلَّ عَن سَبِیلِهِۦ وَهُوَ أَعۡلَمُ بِٱلۡمُهۡتَدِینَ
“Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya, dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk” [Surah an-Naḥl 125]
#Al-Maw’izah al-Hasanah menurut Sayyid Qutb adalah kaedah menyentuh hati dengan cara lemah lembut, menyelami perasaan, memahami, bukan dengan mengherdik atau mencela dalam perkara yang tidak wajib dicela, bukan dengan cara mendedahkan kesalahan yang kadang-kadang berlaku dengan sebab kejahilan
atau dengan niat yang baik tetapi caranya salah.
#Sabda Rasulullah saw: “Sesungguhnya lemah lembut tidaklah ada pada sesuatu kecuali akan menghiasinya, dan tidaklah dibuang daripada sesuatu kecuali akan mengeruhkannya”(HR Abu Dawud)
#Nabi Nuh Alaihissalam mengingatkan kaumnya, jika mereka tidak beriman kepada Allah swt, mereka akan ditimpa azab yang besar dan kecelakaan dunia akhirat.
♡Inilah tugas para nabi dan para pendakwah iaitu menyeru manusia agar beriman kepada Allah dan bertauhid hanya kepadaNya. Jauhi syirik dan perkara yang bertentangan dengan kehendak Allah swt♡
🐊Ust naim
Klik link ini untuk JOIN
http://bit.ly/tadabburkalamullah
Facebook:
No comments:
Post a Comment