☆Tadabbur Kalamullah 19 Syawal 1445H☆
إِنَّ ٱللَّهَ یُدۡخِلُ ٱلَّذِینَ ءَامَنُوا۟ وَعَمِلُوا۟ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ جَنَّـٰتࣲ تَجۡرِی مِن تَحۡتِهَا ٱلۡأَنۡهَـٰرُۚ إِنَّ ٱللَّهَ یَفۡعَلُ مَا یُرِیدُ
"Sesungguhnya Allah akan memasukkan orang-orang yang beriman dan beramal soleh ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; sesungguhnya Allah melakukan apa yang ditentukanNya" [Surah al-Ḥajj 14]
#Kita dituntut agar sentiasa berdoa memohon untuk dimasukkan ke dalam syurga Allah swt yang tertinggi dan teristimewa. Akan tetapi, Allah swt telah menetapkan bahawa syurgaNya itu hanya akan didiami oleh hamba-hambaNya yang beriman dan beramal soleh sahaja sebagaiman yang disebut dalam ayat-ayatNya.
وَالَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ أُولَـٰئِكَ أَصْحَابُ الْجَنَّةِ ۖ هُمْ فِيهَا خَالِدُونَ
"Dan orang-orang yang beriman serta beramal soleh, merekalah ahli syurga, mereka kekal di dalamnya" [Surah al-Baqarah 82]
#Syeikh al-Maraghi dalam tafsirnya menyatakan bahawa ayat ini menunjukkan orang-orang yang membenarkan Allah dan rasulNya, beriman dengan hari akhirat, melakukan amal soleh, menunaikan kewajipan, meninggalkan segala maksiat adalah orang-orang yang layak untuk memasuki syurga sebagai ganjaran di atas ketaatannya, pergantungannya serta keikhlasannya kepada Allah di waktu sembunyi dan terang-terangan. Ini juga merupakan dalil bahawa iman yang sahih bersama amal soleh merupakan syarat untuk masuk ke dalam syurga. (Lihat: Tafsir al-Maraghi)
#Beramallah, jangan mensia-siakan waktu yang masih ada sebelum datang penyesalan yang tiada berguna. Perbanyakan istighfar (memohon keampunan) dan tinggalkan maksiat serta seringlah mengingati kematian kerana kita tidak tahu bila saat kematian akan tiba. Sesungguhnya dengan mengingati kematian seseorang Muslim itu akan sentiasa teruja untuk melakukan amal soleh.
#Sentiasalah bersegera melakukan amal soleh. Jangan sesekali menangguh-nangguh atau melambat-lambatkan beramal dibimbangi terlepas peluang yang ada. Daripada Sayidina Abu Hurairah r.a, bahawa Rasulullah saw bersabda:
بَادِرُوا بِالْأَعْمَالِ سَبْعًا هَلْ تَنْتَظِرُونَ إِلَّا فَقْرًا مُنْسِيًا أَوْ غِنًى مُطْغِيًا أَوْ مَرَضًا مُفْسِدًا أَوْ هَرَمًا مُفَنِّدًا أَوْ مَوْتًا مُجْهِزًا أَوْ الدَّجَّالَ فَشَرُّ غَائِبٍ يُنْتَظَرُ أَوْ السَّاعَةَ فَالسَّاعَةُ أَدْهَى وَأَمَرُّ
"Segeralah melakukan amal soleh (sebelum datang) tujuh perkara. Apakah yang kamu perlu tunggu melainkan kefakiran yang akan melupakan kamu (daripada beramal), atau kekayaan yang akan menimbulkan rasa angkuh yang melampui batas, atau penyakit yang merosak (sehingga sukar untuk beramal soleh), atau masa tua yang menimbulkan kenyanyukan dan keuzuran, atau kematian yang cepat (secara tiba-tiba), atau adanya Dajjal sebagai makhluk jahat yang paling ditunggu-tunggu, atau datang hari kiamat dan hari kiamat itu lebih berat dan lebih sukar" (HR Tirmizi)
♡Amal soleh adalah kenderaan ke Syurga. Maka, siapkanlah kenderaan tersebut dan pandulah menuju ke syurga♡
🐊Ust naim
Klik link ini untuk
http://bit.ly/tadabburkalamullah
Facebook:
https://m.facebook.com/tadabburkalamullah
No comments:
Post a Comment