Thursday, 4 April 2024

 https://t.me/JiwaTarbawi/1288

Jiwa Tarbawi, [Apr 4, 2024 at 10:39]

Bisikan Ruh Ramadhan 10


Manusia diuji keimanan dan kepercayaannya tentang pahala dan dosa. Yang kuat keimanannya akan sentiasa kuat berusaha menambah pahala dan menjauhi dosa. Ini disebabkan dia yakin dan percaya pahalalah bekalannya untuk kehidupan akhirat. 


Justeru, hidupnya di dunia dicorakkan dengan kehidupan ketaatan dan kebaikan. Inilah yang membahagiakan jiwanya.


Daripada Nawwas bin Sam’an R.A, Nabi ‎ﷺ  bersabda:


الْبِرُّ حُسْنُ الْخُلُقِ وَالإِثْمُ مَا حَاكَ فِى صَدْرِكَ وَكَرِهْتَ أَنْ يَطَّلِعَ عَلَيْهِ النَّاسُ


“Kebaikan adalah dengan berakhlak yang mulia. Sedangkan dosa adalah sesuatu yang menggelisahkan hatimu. (Ketika dosa tersebut dilakukan), tentu engkau tidak suka hal itu nampak di tengah-tengah manusia.”


(HR Muslim, 2553)


Imam al-Nawawi dalam menjelaskan hadis di atas berkata: 


“Maksud “حَاكَ فِي صَدْرك” ialah menggelisahkan hati, berasa ragu-ragu, tidak membukakan hati, terhasil perasaan syak di dalam hati, serta takut dan khuatir bahawa keadaan dirinya berdosa.”


(Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 8/343)


Dalam hadis yang lain, Nabi ‎ﷺ  bersabda:


الْبِرُّ مَا اطْمَأَنَّتْ إِلَيْهِ النَّفْسُ وَالْإِثْمُ مَا حَاكَ فِي النَّفْسِ وَتَرَدَّدَ فِي الصَّدْرِ


“Kebaikan ialah apa yang membuatkan jiwa tenang. Manakala dosa adalah yang membuat jiwamu gelisah dan ragu-ragu di hatimu.”


(HR Ahmad, 18006)


Daripada Abi Hurairah R.A, Rasulullah ‎ﷺ  bersabda:


إِنَّ الْعَبْدَ إِذَا أَخْطَأَ خَطِيئَةً نُكِتَتْ فِي قَلْبِهِ نُكْتَةٌ ، فَإِنْ هُوَ نَزَعَ وَاسْتَغْفَرَ وَتَابَ صَقَلَتْ قَلْبَهُ ، وَإِنْ عَادَ زِيدَ فِيهَا حَتَّى تَعْلُوَ قَلْبَهُ فَهُوَ الرَّانُ الَّذِي ذَكَرَ اللَّهُ {كَلاَّ بَلْ رَانَ عَلَى قُلُوبِهِمْ مَا كَانُوا يَكْسِبُونَ}.


“Sesungguhnya hamba, apabila melakukan satu kesalahan atau dosa, akan ditulis pada hatinya satu titik hitam. Apabila dia meninggalkan dosa, beristighfar dan bertaubat, nescaya digilap hatinya. Sebaliknya, apabila mengulangi dosa, akan ditambah padanya titik hitam sehingga memenuhi hatinya, maka itulah dipanggil al-raan (الرَّانُ) yang Allah nyatakan: {كَلاَّ بَلْ رَانَ عَلَى قُلُوبِهِمْ مَا كَانُوا يَكْسِبُونَ} Sebenarnya! (Ayat-ayat Kami itu tidak ada cacatnya) bahkan mata hati mereka telah diselaputi kekotoran (dosa), dengan sebab (perbuatan kufur dan maksiat) yang mereka kerjakan.”


(HR Nasaie, 11594)


Ini bermakna, hati mereka kelam dan bertambah gelapnya dengan sebab dosa yang berterusan sehingga jadilah sukar untuk mendapat cahaya dan petunjuk Ilahi. Akhirnya menjadi sebati dengan maksiat.


Ibn al-Qayyim menyebut: “Jika hati sudah semakin gelap, maka amat sulit untuk mengenal petunjuk kebenaran.” (Lihat Madarij al-Salikin, 2/292)


Seorang yang tidak taat kepada Allah SWT dan hati mereka telah menjadi keras, maka mereka tidak akan peduli, atau malah berbangga diri ketika melakukan kemungkaran dan dosa. 


Itu tandanya, hati telah mati.


(Syekh Ibnu Atha'illah dalam Al Hikam),


من علامات موت القلب عدم الحزن على ما فاتك من الموافقات وترك الندم على ما فعلت من وجود الزلات


"Salah satu tanda matinya hati iaitu jika tidak merasa sedih atau susah kerana ketinggalan melakukan suatu amal perbuatan baik dan kewajiban. Serta tidak menyesal jika telah berbuat dosa atau perbuatan melanggar (syariat).” 



Sayugianya bagi seorang Mukmin itu, apabila dia melihat sesuatu perbuatan dosa, maka dia haruslah bersungguh-sungguh menjauhinya. Hal ini sepertimana kata Abdullah ibn Mas’ud R.A:


‎إِنَّ الْمُؤْمِنَ يَرَى ذُنُوبَهُ كَأَنَّهُ فِي أَصْلِ جَبَلٍ يَخَافُ أَنْ يَقَعَ عَلَيْهِ، وَإِنَّ الْفَاجِرَ يَرَى ذُنُوبَهُ كَذُبَابٍ وَقَعَ عَلَى أَنْفِهِ


“Seorang Mukmin melihat dosa-dosanya seperti dia berada di bawah gunung, dia takut gunung itu akan menghempapnya. Sedangkan orang fajir (derhaka), dia melihat dosa-dosanya seperti melihat lalat hinggap di hidungnya.”


(HR Tirmizi, 2497)



Manusia kelihatannya bergembira, suka dan kadang-kadang berpesta dalam maksiat sebenarnya itu lahiriah yang dibuat-buat, tetapi hati mereka sentiasa dalam kesempitan. Inilah hakikat yang sebenar. 


Firman Allah SWT:



https://t.me/JiwaTarbawi/1289

Jiwa Tarbawi, [Apr 4, 2024 at 10:39]

وَمَنْ أَعْرَضَ عَن ذِكْرِي فَإِنَّ لَهُ مَعِيشَةً ضَنكًا وَنَحْشُرُهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ أَعْمَىٰ


Dan sesiapa yang berpaling ingkar dari ingatan dan petunjukKu, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit, dan Kami akan himpunkan dia pada hari kiamat dalam keadaan buta.


(Thaha: 124)



Ibn Kathir berkata: “Siapa yang berpaling dari perintah Allah dan melupai-Nya, maka kehidupannya penuh kesempitan di dunia, tiada ketenangan dan tiada kelapangan pada dadanya. Bahkan dadanya sentiasa merasa sempit dek kerana kesesatannya sekalipun nampak diberi nikmat pada zahir dengan pakaian, makanan, tempat tinggal, tetapi hatinya tetap gundah gulana. “


(Mukhtasar Ibn Kathir, 2/497)


Justeru, sesungguhnya bila Allah ta’ala ta’ala masih memberi peluang dan kesempatan untuk dapat bertemu Ramadhan kali ini, maka bersungguh-sunguhlah untuk mohon keampunan dan bertaubatlah sungguh-sungguh demi kebahagiaan dan keselamatan dunia dan akhirat.



رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ


“Wahai Tuhan Kami, kurniakanlah kepada kami di dunia dengan kebaikan dan di akhirat dengan kebaikan. Dan selamatkanlah kami dari azab Neraka.”





ABi


No comments:

Post a Comment

  British hunger strikers learn prison lessons from Palestine ​  Summary ​ Wed, 12/03/2025 - 19:06 Asa Winstanley    The Electronic Intifada...