Monday 14 August 2023

 ☆Tadabbur Kalamullah 28 Muharram 1445H☆


إِنَّا عَرَضۡنَا ٱلۡأَمَانَةَ عَلَى ٱلسَّمَـٰوَ ٰ⁠تِ وَٱلۡأَرۡضِ وَٱلۡجِبَالِ فَأَبَیۡنَ أَن یَحۡمِلۡنَهَا وَأَشۡفَقۡنَ مِنۡهَا وَحَمَلَهَا ٱلۡإِنسَـٰنُۖ إِنَّهُۥ كَانَ ظَلُومࣰا جَهُولࣰا 


"Sesungguhnya Kami telah kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya); dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. (Ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan" [Surah al-Aḥzab 72]


#Ketua negara, raja, perdana menteri, wakil rakyat atau pemimpin ialah jawatan atau kedudukan yang menjadi amanah paling besar bagi manusia yang ditolak oleh makhluk langit dan bumi kerana takutkan balasan Allah.


#Namun, jawatan kepimpinan menjadi rebutan pada akhir zaman kerana ia merupakan peluang untuk mendapatkan kekayaan dan kesenangan dunia sehingga melupakan tanggungjawab yang akan dibawa ke hari akhirat yang segalanya akan dihisab kelak.


#Sabda Nabi saw:


‌وَلَوْ ‌أَنَّ ‌لِابْنِ ‌آدَمَ ‌وَادِيًا ‌مِنْ ‌ذَهَبٍ ‌أَحَبَّ ‌أَنْ ‌يَكُونَ ‌لَهُ ‌وَادِيَانِ، وَلَنْ يَمْلَأَ فَاهُ إِلَّا التُّرَابُ، وَيَتُوبُ اللَّهُ عَلَى مَنْ تَابَ


Dan jika seseorang anak Adam (manusia) itu diberikan satu lembah yang dipenuhi dengan emas, nescaya dia mahu memiliki dua lembah yang lain lagi; dan tidak akan dapat memuaskannya melainkan mulutnya dipenuhi dengan tanah (ditimbus setelah mati). Namun, Allah menerima taubat sesiapa yang bertaubat kepadaNya" (HR al-Bukhari dan Muslim)


#Namun begitu, diingatkan kepada para pemimpin, fadhilat yang sangat besar jika mereka dapat menunaikan amanah kepimpinan mengikut perintah Allah swt sehingga dijanjikan kedudukan pertama untuk berada di bawah naungan Allah swt di padang Mahsyar yang menakutkan kelak.


#Sabda Nabi saw: Tujuh jenis manusia yang dinaungi Allah pada hari yang tiada tempat bernaung (Hari Kiamat) melainkan naunganNya;  pertamanya ialah imam (pemimpin atau raja) yang adil” (HR al-Bukhari dan Muslim)


#Maka, setiap pemimpin wajib memastikan penasihat dan orang disekelilingnya bukan para pengampu yang menipu dan melalaikan bersamanya. Pastikan penasihat itu adalah yang setia menegur dan memperingatkannya agar tidak leka dengan tanggungjawab serta sedar tugas utama sebagai pemimpin. Jangan sesekali melantik penasihat, pembantu atau pegawai di kalangan makhluk perosak yang mengipasnya supaya terus lalai dan leka.


#Sabda Nabi saw:


‌إِذَا ‌أَرَادَ ‌اللَّهُ ‌بِالْأَمِيرِ ‌خَيْرًا، جَعَلَ لَهُ وَزِيرَ صِدْقٍ، إِنْ نَسِيَ ذَكَّرَهُ، وَإِنْ ذَكَرَ أَعَانَهُ، وَإِذَا أَرَادَ اللَّهُ بِهِ غَيْرَ ذَلِكَ جَعَلَ لَهُ وَزِيرَ سُوءٍ، إِنْ نَسِيَ لَمْ يُذَكِّرْهُ، وَإِنْ ذَكَرَ لَمْ يُعِنْهُ.


Apabila Allah menghendaki kebaikan bagi seseorang raja atau pemimpin itu, nescaya dijadikan baginya pembantu (menteri, pegawai atau penasihat) yang benar dan ikhlas. Jika pemimpin itu lupa atau leka, nescaya diberikan peringatan, jika pemimpin itu mengingati, nescaya akan diberikan pertolongan kepadanya. Sebaliknya jika Allah menghendaki selain daripadanya (keburukan) kepada pemimpin itu, nescaya dijadikan baginya pembantu yang jahat. Jika pemimpin itu lupa dan lalai, nescaya tidak diberikan peringatan, dan jika dia mengingati, nescaya tidak akan diberikan pertolongan kepadanya” (HR Abu Dawud)


♡Jika seorang Rasul itu menjadi pemimpin, Baginda mendapat petunjuk secara langsung daripada Allah swt melalui penurunan wahyu. Adapun jika seorang manusia biasa menjadi pemimpin, tidak cukup dengan ilmu dan kebijaksanaan akalnya sahaja tetapi mestilah didampingi oleh penasihat daripada kalangan menteri dan para pegawai yang berakhlak mulia, secara zahirnya bijak dan batinnya benar dan ikhlas. Benar percakapan dan hatinya, ikhlas pada niatnya kerana Allah swt dan bertaqwa (takut) kepadaNya♡


🐊Ust naim

Klik link ini untuk     

http://bit.ly/tadabburkalamullah




No comments:

Post a Comment

  A Declaration of War Against Iatrogenic Mainstream Cancer Therapies for Profit & Genocide Peer Reviewed Medical Evidence Unveiled 2nd ...