PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS
Menunaikan Tangungjawab Ke atas Muslim
أَنَّ عَبْدَ اللَّهِ بْنَ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا أَخْبَرَهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ الْمُسْلِمُ أَخُو الْمُسْلِمِ لَا يَظْلِمُهُ وَلَا يُسْلِمُهُ وَمَنْ كَانَ فِي حَاجَةِ أَخِيهِ كَانَ اللَّهُ فِي حَاجَتِهِ وَمَنْ فَرَّجَ عَنْ مُسْلِمٍ كُرْبَةً فَرَّجَ اللَّهُ عَنْهُ كُرْبَةً مِنْ كُرُبَاتِ يَوْمِ الْقِيَامَةِ وَمَنْ سَتَرَ مُسْلِمًا سَتَرَهُ اللَّهُ يَوْمَ الْقِيَامَة
Bahawa Abdullah bin Umar radliallahu 'anhuma mengkhabarkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: Seorang muslim saudara terhadap sesama muslim, tidak boleh menganiaya dan tidak akan dibiarkan dianiaya orang lain. Siapa yang menyampaikan hajat saudaranya, maka Allah akan menyampaikan hajatnya. Siapa yang melapangkan kesusahan seorang muslim, maka Allah akan melapangkan kesukarannya di hari kiamat, dan siapa yang menutupi aib seorang muslim maka Allah akan menutup aibnya di hari kiamat. (Sahih Bukhari No: 2310) Dar Ibn Kathir. Status: Hadis Sahih
Pengajaran:
1. Setiap Muslim adalah saudara kepada Muslim yang lain
2. Sebagai orang Islam, kita perlu menjaga hak orang Islam yang lain antaranya:
a. Tidak boleh berlaku zalim atau menganiaya ke atas orang Islam yang lain
b. Tidak boleh membiarkan orang Islam yang lain di zalimi
3. Menjadi tanggungjawab kita membantu saudara kita yang memerlukan bantuan atau hajat. Orang yang berbuat demikian, Allah akan memperkenan hajatnya.
4. Orang Islam yang melapangkan kesempitan orang Islam yang lain semasa di dunia, Allah akan melapangkan dan mempermudah kehidupannya di hari kiamat
5. Menjadi tanggungjawab seorang Muslim menutup aib atau keburukan saudara Muslim yang lain.
6. Orang yang menutup kekurangan, aib atau keburukan sahabatnya semasa di dunia, nescaya Allah akan menutup aib dan kekurangannya semasa di akhirat kelak.
7. Menurut Al-Qadhi Iyadh dalam Al-Minhaj Syarh Sahih Muslim (16/360): “Ditutupnya aib si hamba pada hari kiamat berkemungkinan dua keadaan:
a. Allah akan menutup maksiat dan aibnya dengan cara tidak mengumumkannya kepada manusia di padang mahsyar.
b. Allah Taala tidak akan menghisab aibnya dan tidak akan menyebut aib tersebut.”
Dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara, berusahalah kita memelihara hak saudara Islam kita yang lain serta miliki sifat cakna dan prihatin membantu kepada yang memerlukan.
Negara Rahmah Ummah Sejahtera
#BersamaMembinaNegara
#KeluargaUtuh
#MasyarakatProgresif
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor
06hb Ogos 2023
19hb Muharam 1445H
Utk dapatkan 1 Hari 1 Hadis Pertubuhan Ikram Malaysia Negeri Johor, sila klik link di bawah :
telegram.me/hadisharian_ikram
No comments:
Post a Comment