Sunday 6 August 2023

 

Penduduk terkejut rumah dibeli digadai pemaju

Perjumpaan penduduk terlibat dengan media di Dewan Orang Ramai Taman Halaman Indah, pada Rabu

NIBONG TEBAL: Penduduk perumahan Taman Halaman Indah, Jawi, buntu memikirkan kediaman yang mereka diami sejak 2019 bakal menjadi milik syarikat pemberi pinjaman wang berlesen dan ceti.

Advertisement 

Seramai 155 penduduk, majoriti golongan B40 membeli hartanah bernilai RM42,000 hingga RM80,000 dan ke atas dengan pembelian tunai.

Namun mereka mendakwa ditipu dan dianiaya pemaju syarikat perumahan terbabit.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Isu Gadaian Tanah Taman Halaman Indah, Habibur Rahman Seeni Mohamed berkata, pemaju telah menggunakan kelulusan kuasa penuh (PA) daripada Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) untuk menggadai hartanah mereka.

“Daripada PA itulah mereka buat pinjaman sebagai wakil kuasa kemudian mencagarkan tanah yang belum bertukar hak milik kepada pembeli padahal pembeli sudah beli rumah, ada SNP semua,” ulasnya.

Jelasnya, masalah bertambah rumit apabila pemaju berkenaan telah diisytihar muflis oleh Jabatan Insolvensi Malaysia pada tahun 2020.

Malah kegagalan pemaju melunaskan hutang dengan pemberi pinjaman wang dan ceti telah menyebabkan masalah itu dibebankan kepada penduduk.

Menurutnya, isu itu telah disuarakan kepada kerajaan negeri dan pusat serta wakil rakyat, namun belum dapat diselesaikan.

“Bila kami bawa isu ini mereka nasihatkan buat laporan polis. Sedangkan sehingga sekarang sudah lebih 10 laporan polis kami buat tapi tiada apa-apa tindakan,” katanya selepas mengadakan perjumpaan dengan penduduk terlibat di Dewan Orang Ramai Taman Halaman Indah, pada Rabu.

Katanya juga untuk mendapatkan geran rumah, 115 daripada 155 penduduk terlibat perlu membayar RM21,000 termasuk caj pengurusan sebagai tebus hutang atas hartanah.

“Terdapat empat syarikat pemberi pinjaman wang berlesen dan lima individu ceti yang terlibat yang dipinjam oleh pemaju. 115 daripada kami berdepan dengan sebuah syarikat pemberi pinjaman wang yang sama telah cuba diselesaikan melalui rundingan iaitu perlu membayar RM21,000.

“Manakala pembeli yang lain mereka berdepan dengan lain-lain syarikat pemberi pinjaman wang dan ceti yang mahu masalah pemilikan geran diselesaikan di mahkamah.

“Masalahnya pemaju yang pinjam kenapa kami yang kena bayar?

“Kami bertambah buntu jika tidak membuat pembayaran sehingga hujung tahun ini kami akan kehilangan kediaman kami,” katanya.

Tinggal di tempat lain

Seorang pembeli, Mohd Fadil Ismail ,45, berkata untuk sementara waktu keluarganya masih tinggal menyewa di tempat lain.

Katanya rumah terbabit dibeli pada tahun 2010 dan mendapat kunci pada 2019.

“Tetapi sebelum kami dapat kunci rumah, rumah kami sudah digadai kepada syarikat peminjam wang. Saya menyedari perkara itu setelah membuat semakan dengan Pejabat Tanah dan Galian Pulau Pinang.

“Ternyata rumah saya antara daripada 155 kediaman yang tersenarai sebagai gadaian kepada syarikat peminjam wang,” katanya.

Pekerja kilang, Azmi Mohd Salleh berkata, beliau kecewa kerana rumah yang sekian lama dinanti telah digadai oleh pemaju.

Menurutnya projek perumahan Taman Halaman Indah itu merupakan projek sakit sejak lima enam tahun lalu.

Kata beliau selepas campur tangan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Dato’ Zuraida Kamaruddin, baru dapat kunci rumah yang diserahkan pada tahun 2019.

Katanya juga rumah terbabit sepatutnya disiapkan pemaju perumahan pada 2012, namun lewat daripada tarikh ditetapkan.

“Keadaan itu menyebabkan saya membina rumah lain berhampiran rumah orang tua. Saya berharap mana-mana pihak yang boleh bantu untuk selesaikan masalah kami.

“Hutang dengan ceti ini bukan kami yang buat, kenapa kami yang kena bayar. Kami dah habis bayar harga rumah kami. Kenapa kami pula kena bayar hutang pemaju,” katanya.

Pasangan suami isteri, Haslinda dan Mohd Noor pula berkata, mereka mengeluarkan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja untuk menyelesaikan pembelian rumah secara tunai.

Katanya bukan sahaja mereka dizalimi, malah rumah yang diimpikan tidak seindah rupa apabila terpaksa mengeluarkan wang untuk memperbaiki kerosakan rumah.

“Lebih RM20,000 kos bagi memperbaiki rumah setelah terima kunci pada tahun 2019. Rumah tersebut rosak bahagian bumbung bocor, dinding retak, dan saluran paip dalam rumah,” katanya. – HARAKAHDAILY 4/8/2023

No comments:

Post a Comment

  French court overturns ban against Israeli arms makers for Euronaval exhibit The ban was imposed earlier this month following French Presi...