☆Tadabbur Kalamullah 26 Zulhijjah 1444H☆
یَـٰۤأَیُّهَا ٱلَّذِینَ ءَامَنُوا۟ قُوۤا۟ أَنفُسَكُمۡ وَأَهۡلِیكُمۡ نَارࣰا وَقُودُهَا ٱلنَّاسُ وَٱلۡحِجَارَةُ
"Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala)" [Surah at-Taḥrim 6]
#Sambung bicara berkaitan didikan agama dan iman kepada seluruh ahli keluarga.
#Dikisahkan bahawa para ulamak salafussoleh sentiasa membiasakan anggota keluarga mereka, sejak usia anak-anak, untuk selalu menghadiri majlis ilmu dan kajian-kajian Islam untuk kebaikan agama mereka, serta bergaul dan mengunjungi orang-orang yang soleh dalam rangka meneladani akhlak mulia mereka.
#Mereka memahami bahawa jiwa manusia memiliki kecenderungan untuk selalu meniru dan mengikuti orang lain yang dikaguminya dan selalu dekat dengannya.
#Imam Khathib al-Baghdadi menukilkan kisah daripada Imam al-A’masy, ketika beliau sedang menyampaikan hadis di hadapan anak-anak yang masih kecil, maka ada yang bertanya kepada beliau:
“Kamu menyampaikan hadis di hadapan anak-anak yang masih kecil ini?”.
Maka jawab Imam al-A'masy rahimahullah: “Anak-anak yang masih kecil inilah yang akan menjaga agamamu” (Lihat: Syarafu ashhaabil hadits)
#Begitu juga, diriwayatkan bahawa Imam Ibrahim bin Adham menceritakan:
“Ketika aku masih kecil ayahku berkata kepadaku: "Wahai anakku, tuntutlah ilmu hadis. Setiap kali kamu mendengar sebuah hadis dan menghafalnya maka kamu dapat (wang) satu dirham”. Maka aku pun menuntut ilmu hadis kerana motivasi dan galakan itu”.
#Imam Ibnul Jauzi pula membawakan sebuah kisah dari seorang ulama Salaf yang terkenal, Ibrahim al-Harbi. Dari Muqatil bin Muhammad al-‘Ataki, beliau bercerita: "Aku pernah hadir bersama ayah dan saudaraku menemui Abu Ishak Ibrahim al-Harbi, maka beliau bertanya kepada ayahku:
“Mereka ini anak-anakmu?”
Ayahku menjawab: “Ya”.
Beliau berkata kepada ayahku: “Hati-hatilah! Jangan sampai mereka melihatmu melanggar larangan Allah, sehingga (wibawamu) jatuh di mata mereka” (Lihat: Shifatus Shafwah)
#Sabda Nabi saw:
"Demi Allah, bukanlah kemiskinan yang aku takutkan (akan merosak agama) kalian, akan tetapi yang aku takutkan bagi kalian adalah jika (perhiasan) dunia dibentangkan (dijadikan melimpah) bagi kalian sebagaimana (perhiasan) dunia dibentangkan bagi umat (terdahulu) sebelum kalian, maka kalian pun bercita-cita tinggi dan berlumba-lumba mengejar dunia sebagaimana mereka bercita-cita tinggi dan berlumba-lumba mengejarnya, sehingga (akibatnya) dunia itu membinasakan kalian sebagaimana dunia membinasakan mereka” (HR al-Bukhari dan Muslim)
♡Didiklah ahli keluarga mencintai majlis ilmu, majlis zikrullah dan sentiasa mendampingi orang-orang yang soleh. Semoga ahli keluarga kita sentiasa dalam rahmat dan keberkatan Allah swt♡
🐊Ust naim
Klik link ini untuk
http://bit.ly/tadabburkalamullah
Facebook:
https://m.facebook.com/tadabburkalamullah
No comments:
Post a Comment