Majlis Ugama Islam Singapura
Khutbah Jumaat
7 Julai 2023 / 18 Zulhijjah 1444H
Sikap Rahmah Dalam Kehidupan Berkeluarga
Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah,
Marilah sama-sama kita bertakwa kepada Allah (s.w.t) dengan sebenar-benar ketakwaan. Iaitu dengan memenuhi segala suruhan-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Semoga ketakwaan yang kita usahakan, menanamkan sifat rahmah dalam diri kita. Amin Ya Rabbal ‘Alamin.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian,
Izinkan saya untuk berkongsi suatu ayat al-Quran, yang mengandungi padanya panduan untuk memupuk nilai yang mulia dalam kehidupan berkeluarga. Nilai yang saya maksudkan di sini adalah sifat rahmah dalam diri, khususnya terhadap ahli keluarga. Allah (s.w.t) berfirman:
Yang bermaksud: “Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan rahmat-Nya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikan-Nya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan rahmah. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan bagi orang-orang yang berfikir.” [Ar-Rum:21]
Saudaraku yang dirahmati Allah sekalian,
Ayat yang dibacakan sebentar tadi menyebutkan dua nilai utama dalam kehidupan berkeluarga. Iaitu sifat rahmah dan kasih sayang. Dua sifat ini patut dimanifestasikan dalam segala interaksi serta pergaulan kita bersama ahli keluarga. Lebih-lebih lagi ketika berada dalam situasi persengketaan.
Kerana untuk seseorang itu berbudi ketika waktu berdamai, adalah suatu perkara yang lumrah. Bak kata pepatah “orang berbudi, kita berbahasa”. Akan tetapi yang didorong agama ini adalah untuk menjaga adab dan etika ketika persengketaan dan perbalahan berlaku.
Lihat bagaimana Allah (s.w.t) mengajar kita untuk menampilkan sifat yang mulia meskipun ketika kemuncak perselisihan antara suami dan isteri. Allah (s.w.t) berfirman:
Yang bermaksud: “Wahai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu: "Sekiranya kamu semua mahukan kehidupan dunia (yang mewah) dan perhiasannya (yang indah), maka marilah supaya aku berikan kepada kamu pemberian mut'ah (sagu hati), dan aku lepaskan kamu dengan cara yang sebaik-baiknya.” [Al-Ahzab: 28]
Subhanallah, hatta dalam isu penceraian antara suami dan isteri, seseorang itu diajar untuk melakukan dengan sebaik-baiknya, serta mempamerkan akhlak yang mulia. Begitulah akhlak yang diajarkan oleh Baginda Nabi Muhammad (s.a.w). Kerana melalui akhlak dan pekerti yang mulia itu, ia membantu kita untuk mencari jalan keluar serta solusi dengan penuh kematangan dan hikmah.
Contohilah Rasulullah (s.a.w.) yang menjadikan sifat rahmah sebagai nilai asas bagi interaksi kita sesama manusia terutama sekali dengan ahli keluarga. Sayyidah Aisyah (r.a.) berkata:
مَا رَأَيتُ أَحَدًا أَرْحَمَ بِالعِيَالِ مِنْ رَسُولِ اللهِ
Yang bermaksud: “Aku tidak pernah melihat seseorang yang menunjukkan rahmah kepada keluarganya lebih dari Rasulullah (s.a.w.)”. [Hadis riwayat Ibn Hibban]
Saudaraku,
Perselisihan pendapat, ataupun perbezaan yang berlaku antara pasangan adalah satu lumrah kehidupan berkeluarga. Perbezaan ini tidak seharusnya menjadi sebab untuk kita mengambil jalan kekerasan dalam mencari jalan penyelesaian. Kerana yang memandu setiap orang mukmin itu adalah panduan agama, daripada al-Quran dan Sunnah. Dan bukannya dirinya dipandu dengan keinginan peribadi, serta hawa nafsu.
Sedihnya, hari ini kita dapat lihat bagaimana sebahagian individu menjadikan keganasan sebagai jalan penyelesaian. Kadangkala masih kedengaran tentang isu keganasan keluarga yang berlaku.
Saudaraku,
Keganasan tidak semestinya dalam bentuk fizikal, seperti memukul, sahaja. Akan tetapi terdapat juga keganasan dari segi psikologi dan perasaan. Seperti mengucapkan kata-kata kesat, menghina, sehingga menjejas emosi dan psikologi seorang individu.
Ketahuilah bahawa setiap perbuatan kita memberi kesan terhadap ahli keluarga, lebih khusus lagi anak-anak. Kanak-kanak yang menyaksikan keganasan yang berlaku dalam keluarga, pasti akan terkesan. Sama ada dari segi pembelajaran, hubungan sosial dan sebagainya.
Ingatlah bahawa anak-anak adalah golongan yang lemah. Mereka menerima sahaja apa yang diberikan dan ditunjukkan kepada mereka. Sikap serta peribadi yang bakal terbentuk dalam diri anak-anak adalah cerminan dari ibu bapa mereka. Mereka akan membesar dengan corakan dan gambaran yang mereka lihat sewaktu kecil.
Dari itu, nasihat saya kepada semua yang mendengar, adalah untuk sentiasa menjadikan Nabi (s.a.w) sebagai contoh teladan kita dalam berurusan dengan keluarga. Keluarga adalah amanah kurniaan Tuhan. Dan setiap individu esok akan dipersoalkan akan amanah ini.
Semoga Allah (s.w.t) melindungi kita dan keluarga kita daripada segala bentuk kejahatan. Dan semoga dapat kita berkumpul bersama keluarga kita dan mencapai kejayaan yang agung di dalam syurga-Nya kelak. Amin Ya Rabbal ‘Alamin.
أَقُوْلُ قَوْلِي هَذَا وَ أَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِي وَ لَكُمْ، فَاسْتَغْفِرُوهُ إِنَّهُ هُوَ الغَفُوْرُ الرَّحِيْم
Khutbah Kedua
الحَمْدُ للهِ حَمْدًا كَثِيرًا كَمَا أَمَرَ، وَأَشْهَدُ أَن لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِينَ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله، اِتَّقُوا اللهَ تَعَالَى فِيمَا أَمَرَ، وَانتَهُوا عَمَّا نَهَاكُم عَنْهُ وَزَجَرَ.
أَلَا صَلُّوا وَسَلِّمُوا عَلَى النَّبِيِّ الْمُصْطَفَى، فَقَدْ أَمَرَنَا اللهُ بِذَلِكَ حَيْثُ قَال فِي كِتَابِهِ العَزِيزِ: إِنَّ اللهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَـا أَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا صَلُّوا عَلَيهِ وَسَلِّمُوا تَسلِيمًا. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَ بَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ.
وَارْضَ اللَّهُمَّ عَنِ الخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ المَهْدِيِّينَ أَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ وَعُثْمَانَ وَعَلِيِّ، وَعَن بَقِيَّةِ الصَّحَابَةِ وَالقَرَابَةِ وَالتَّابِعِينَ، وَتَابِعِي التَّابِعِينَ، وَعَنَّا مَعَهُم وَفِيهِم بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ.
اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلمُؤْمِنِينَ وَالمُؤْمِنَاتِ، وَالمُسْلِمِينَ وَالمُسْلِمَاتِ، الأَحْيَاءِ مِنهُم وَالأَمْوَاتِ. اللَّهُمَّ ادْفَعْ عَنَّا البَلَاءَ وَالوَبَاءَ وَالزَّلَازِلَ وَالمِحَنَ، مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ، عَن بَلَدِنَا خَاصَّةً، وَسَائِرِ البُلْدَانِ عَامَّةً، يَارَبَّ العَالَمِينَ. رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنيَا حَسَنَةً، وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.
عِبَادَ اللهِ، إِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِالعَدْلِ وَالإِحْسَانِ وَإِيتَاءِ ذِي القُرْبَى، وَيَنْهَى عَنِ الفَحْشَاءِ وَالمُنكَرِ وَالبَغْيِ، يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ، فَاذكُرُوا اللهَ العَظِيمَ يَذْكُركُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدكُمْ، وَاسْأَلُوهُ مِن فَضلِهِ يُعطِكُم، وَلَذِكرُ اللهِ أَكبَرُ، وَاللهُ يَعلَمُ مَا تَصنَعُونَ.
No comments:
Post a Comment