☆Tadabbur Kalamullah 21 Syawwal 1444H☆
وَلَا تَأۡكُلُوۤا۟ أَمۡوَ ٰلَكُم بَیۡنَكُم بِٱلۡبَـٰطِلِ وَتُدۡلُوا۟ بِهَاۤ إِلَى ٱلۡحُكَّامِ لِتَأۡكُلُوا۟ فَرِیقࣰا مِّنۡ أَمۡوَ ٰلِ ٱلنَّاسِ بِٱلۡإِثۡمِ وَأَنتُمۡ تَعۡلَمُونَ
"Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya)" [Surah Al-Baqarah 188]
#Warak dan zuhud adalah dua sifat terpuji yang sering menjadi sebutan. Apakah hakikat sebenarnya sifat tersebut.
#Berkata Imam Ibn Rusyd: “Warak ialah menjauhi perkara-perkara yang haram dan yang syubhah”.
#Ini menunjukkan bahawa seseorang itu tidak boleh dikatakan warak kalau tidak meninggalkan perkara yang syubhah di samping meninggalkan perkara yang haram.
#Imam Ibn Rusyd juga mentakrifkan zuhud dengan katanya: "Zuhud ialah sifat yang menggerakkan seseorang meninggalkan perkara yang haram dan yang syubhah, mengelakkan diri dari bersedap-sedap dengan syahwah yang harus (contoh: makanan, perhiasan, seks dan lain-lain secara berlebihan). Maka setiap orang yang zuhud itu warak, dan bukan setiap orang yang warak itu zuhud. Warak lebih umum daripada zuhud".
#Dikisahkan pada suatu hari Imam Basyar membeli sepasang kasut baru. Dia memakainya ke masjid. Tiba di masjid, dia membuka kasutnya dan diletakkan di pintu masuk masjid. Dia masuk ke dalam masjid dan bersolat sebagai imam.
Ketika keluar dari masjid, didapati kasutnya telah hilang. Lalu dia menangis. Para makmumnya berkata: “Wahai Imam. Tak sepatutnya orang seperti tuan menangis kerana kehilangan sepasang kasut. Kami akan belikan untuk tuan sepasang kasut lain sebagai ganti”.
Imam Basyar menjawab: “Demi Allah! Aku menangis bukan kerana kasutku hilang. Tetapi aku menangis kerana aku menjadi sebab seorang umat Islam melakukan maksiat. Kalaulah tidak kerana kasut baruku itu, tentulah dia tidak mencuri, tentulah dia tidak melakukan maksiat dan dosa!”
Mulai saat itu dia bersumpah tidak akan memakai kasut selama-lamanya. Dan benar-benar dia tidak lagi memakai kasut sepanjang hayatnya selepas itu sehingga dia mendapat gelaran Basyar al-Hafi. Al-Hafi bermakna orang yang tidak berkasut atau orang yang berkaki ayam.
#Dikisahkan juga mengenai kewarakan adik Imam Basyar al-Hafi. Pada suatu hari, adik Basyar al-Hafi datang meminta fatwa daripada Imam Ahmad bin Hanbal. Perempuan itu berkata: “Wahai Imam, jiran saya terdiri daripada orang-orang yang rosak akhlak mereka. Kelakuan mereka, makanan mereka, kehidupan mereka penuh dengan kerosakan. Waktu malam, mereka memasang lampu yang terang sehingga cahayanya melimpah ke halaman rumah kami. Saya selalu duduk di halaman rumah, menenun baju daripada bulu diterangi cahaya lampu dari rumah mereka. Adakah itu halal bagi saya atau haram?”
Imam Ahmad begitu kagum dengan soalan perempuan itu. Beliau bertanya: “Dari rumah manakah kamu wahai perempuan?”. Ia menjawab: “Saya adalah adik kepada Basyar al-Hafi”.
Lantas Imam Ahmad berkata: “Daripada rumahmu keluarnya warak. Janganlah kamu menjahit di situ supaya cahaya terus kekal keluar daripada rumahmu, keluarga Basyar”.
♡Lihatlah bagaimana mereka sangat sensitif dengan perkara haram dan juga syubhah. Maka contohilah mereka agar hidup kita sentiasa terpelihara daripada dosa dan maksiat♡
🐊Ust naim
Klik link ini untuk JOIN
http://bit.ly/tadabburkalamullah
Facebook:
https://m.facebook.com/tadabburkalamullah
No comments:
Post a Comment