Tuesday, 9 May 2023

 ☆Tadabbur Kalamullah 19 Syawwal 1444H☆


خُذِ ٱلۡعَفۡوَ وَأۡمُرۡ بِٱلۡعُرۡفِ وَأَعۡرِضۡ عَنِ ٱلۡجَـٰهِلِینَ 


"Jadilah pemaaf dan suruhlah dengan perkara yang baik, serta berpalinglah (jangan dihiraukan) orang-orang yang jahil (yang degil dengan kejahilannya)"[Surah al-A'raf 199]


#Allah swt memerintahkan kita agar sentiasa melakukan kebaikan, mempamerkan akhlak yang baik, menyuruh serta menasihati orang lain agar melakukan kebaikan dan jangan peduli dengan orang-orang yang degil dengan kebodohannya.


#Hayati dan ambillah pengajaran daripada kisah di bawah ini:


Diceritakan bahawa seorang pengembara telah mengembara dari desa ke kota dengan menunggang seekor kuda dari jenis baka yang baik. Setelah puas mengembara, tibalah masa untuk dia berangkat pulang menemui keluarga tersayang.


Dia memulakan perjalanan pada waktu dhuha meredah padang pasir yang luas saujana. Hatinya girang, jiwanya lapang laksana padang pasir yang sedang dijelajahi ketika itu. Wajah isteri dan anak-anak yang dirindui bermain-main di mata silih berganti. Beberapa ketika meredah sahara, haripun mula meninggi. Bahang kepanasan bagaikan tidak tertanggung. Butiran-butiran pasir laksana bara api yang sedang menyala. Tiba-tiba dia terserempak dengan seorang lelaki terhuyung hayang menahan kepanasan dengan sepasang kaki yang tidak berkasut sedangkan pasir-pasir yang dipijak laksana bara api yang sedang menyala.


Tanpa berfikir panjang, dia lantas turun dari kudanya dan mempersilakan lelaki itu naik. Dia berjalan kaki mengiringi lelaki itu di atas kuda kesayangannya. Lelaki itu berulang kali mengucapkan terima kasih sambil mendoakan agar dipanjangkan umur dan dimurahkan rezeki orang yang menolongnya itu. Tidak sampai beberapa meter berjalan, tiba-tiba lelaki itu memecut kuda itu dan berlari meninggalkan pengembara yang baik hati. Barulah dia sedar rupa-rupanya lelaki itu seorang pencuri. Apa yang dilakonkan sebentar tadi hanya helah semata-mata.


Seketika dia tergamam. Kemudian cepat-cepat dia menjerit: “Ya akhi! Tunggu sebentar, dengar dulu apa yang ingin aku katakan!. Pencuri itu memberhentikan kuda dan menanti apa yang akan dikatakan oleh mangsanya.


“Ya akhi, kuda itu halal untukmu. Tapi aku minta kamu rahsiakan peristiwa ini dari diketahui orang. Jangan biarkan perkara ini tersebar di kalangan kabilah-kabilah Arab. Kalau mereka tahu perkara seperti ini berlaku, tentulah orang yang kuat tidak akan menolong orang yang lemah, orang yang menunggang tidak akan kasihan kepada orang yang berjalan kaki. Maka jadilah padang pasir suatu kawasan yang sunyi daripada maruah. Hilang maruah, hilanglah keindahan padang pasir ini kerana maruah adalah perhiasan baginya. Padang pasir adalah tempat bertandang kemurahan, kemuliaan dan ketinggian budi!”


Mendengar kata-kata pengembara itu, pencuri pun berpatah balik. Malu dan menyesal di atas ketelanjuran diri sendiri. Dengan nada kesal dia berkata kepada pengembara: “Sesungguhnya kemuliaan itu akhlak yang terpuji, kemaafan itu tabiat yang baik. Maka maafkan kesilapanku. Sesungguhnya aku pulangkan kudamu wahai pengembara yang mulia kerana takut suatu hari nanti orang akan berkata ‘Orang Arab berbuat jahat kepada orang yang berbudi kepadanya’, dengan itu hilanglah maruah dari pasir-pasir sahara ini.”


♡Jadilah manusia yang baik dan bermanfaat kepada orang lain. Zahirkan akhlak sebagai seorang Muslim beriman, moga dicontohi dan diteladani orang lain♡


🐊Ust naim

Klik link ini untuk JOIN     

http://bit.ly/tadabburkalamullah


Facebook:

https://m.facebook.com/tadabburkalamullah



No comments:

Post a Comment

  Why the World Keeps Turning Against the Jews I lately came across this Video: Who are the Jews, really? What is their true role in history...