☆Tadabbur Kalamullah 4 Syawwal 1444H☆
وَلَا تُبَذِّرۡ تَبۡذِیرًا * إِنَّ ٱلۡمُبَذِّرِینَ كَانُوۤا۟ إِخۡوَ ٰنَ ٱلشَّیَـٰطِینِۖ وَكَانَ ٱلشَّیۡطَـٰنُ لِرَبِّهِۦ كَفُورࣰا
"Dan janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan boros yang melampau. Sesungguhnya orang-orang yang boros itu adalah saudara-saudara Syaitan, sedang Syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya" [Surah al-Israʾ 26-27]
#Diantara dosa dan kesilapan yang biasa terjadi ketika menyambut hari raya ialah dosa membazir.
#Sayidina Ibnu Mas’ud dan Ibnu ‘Abbas r.huma mengatakan pembaziran adalah menginfakkan sesuatu bukan pada jalan yang benar.
#Qatadah mengatakan: “Yang namanya tabdzir (pemborosan) adalah mengeluarkan nafkah dalam berbuat maksiat pada Allah, pada jalan yang keliru dan pada jalan untuk berbuat kerosakan".
#Pemborosan yang seringkali dilakukan ketika membuat persiapan menyambut Aidilfitri adalah dari aspek pakaian. Maksudnya membeli atau menempah pakaian yang berlebih-lebihan. Terlalu banyak pakaian yang ditempah sehingga tidak lagi menjadi keperluan tetapi menjadi lebihan. Meskipun ia adalah hak golongan kaya-raya, tetapi pada hakikatnya Islam memandang perkara ini sebagai suatu pemborosan melampau yang membawa kepada pembaziran. Bahkan ia telah melebihi had kecukupan atau keperluan seseorang.
#Walaupun Baginda Nabi saw menggalakkan kita berpakaian baharu dan cantik pada hari perayaan Aidilfitri, tetapi janganlah sampai terlalu boros sehinggakan melebihi had. Baginda saw sendiri melarang amalan pembaziran dan tidak pernah melakukan sesuatu perbelanjaan yang melampaui batas.
#Selain pakaian, pemborosan juga berlaku dari aspek pembelian peralatan dan perhiasan rumah seperti langsir, perabot, lampu baru yang mahal, syiling baru dan seumpamanya. Tidak salah jika kita ingin menjadikan Aidilfitri masa untuk menukar peralatan dan perhiasan rumah, tetapi tidak perlulah dilakukan apabila setiap kali Aidilfitri, kerana Aidilfitri adalah masa untuk mengeratkan silaturrahim. Paling penting adalah layanan mesra sewaktu menerima kunjungan tetamu.
#Dalam pada itu, pemborosan juga berlaku dari aspek ingin menceriakan perasaan anak-anak. Ada segelintir ibu bapa yang melaburkan wang ringgit semata-mata untuk membeli mercun atau bunga api demi menggembirakan anak-anak pada hari dan malam raya. Selain aspek pembaziran, bermain mercun juga boleh mendatangkan bahaya dan kemudaratan kepada tubuh badan anak-anak.
#Selain itu, pembaziran dari sudut makanan yang terlalu mewah dan terlalu banyak menu sehingga berlebihan dan banyak yang dibuang. Amalan menjamu makan adalah terpuji dan dianjur oleh Islam, tetapi jika sampai membazir maka mengundang dosa dan kemurkaan Allah swt.
♡Islam tidak melarang umatnya berbelanja, tetapi Islam mengajar umatnya tata kelola berbelanja dengan betul, iaitu secara sederhana dan tidak boros. Kita juga seharusnya mengenangkan nasib saudara seagama yang menyambut Aidilfitri dalam serba kedaifan dan kekurangan. Alangkah baiknya jika kita meninggalkan amalan pemborosan itu dengan menggalakkan amalan kebajikan seperti bersedekah agar mereka juga dapat bergembira di hari raya♡
🐊Ust naim
Klik link ini untuk JOIN
http://bit.ly/tadabburkalamullah
Facebook:
https://m.facebook.com/tadabburkalamullah
No comments:
Post a Comment