Thursday 27 April 2023

 

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

28 Apr 2023 / 7 Syawal 1444H


Adab Menziarahi Saudara

Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah,

Marilah sama-sama kita tingkatkan ketakwaan kita kepada Allah (s.w.t) dengan mematuhi segala suruhan-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Semoga Allah menerima segala amal ibadah kita dan menjadikan kita dari kalangan hamba-Nya yang soleh. Amin.

Saudaraku,

Alhamdulillah, kita diberikan peluang sekali lagi untuk menyambut bulan Syawal pada tahun ini. Kebiasaannya pada bulan Syawal. Kita akan ziarah menziarahi antara satu sama lain. 

Tradisi yang baik ini mempunyai kepentingan dan kelebihan dari pelbagai aspek. Sama ada kepada individu, begitu juga memberi kesan yang positif pada kehidupan sosial.

Bahkan tradisi ziarah menziarahi saudara kita menjadi sebab untuk kita meraih keredaan Allah (s.w.t). Diriwayatkan dalam sebuah hadis Qudsi bahawa Allah (s.w.t) berkata:

وَجَبَتْ مَحَبَّتِي لِلْمُتَحَابِّينَ فِيَّ وَالْمُتَجَالِسِينَ فِيَّ وَالْمُتَزَاوِرِينَ فِيَّ وَالْمُتَبَاذِلِينَ فِيَّ

Yang bermaksud: “Cinta-Ku adalah wajib bagi mereka yang saling mencintai kerana Aku, yang duduk bersama kerana Aku, yang saling mengunjungi kerana Aku, dan yang saling membelanjakan kerana Aku.” (Hadis riwayat Imam Ahmad)

Namun, dalam usaha kita untuk terus menghidupkan tradisi ini, kita juga harus memperhatikan adab dan tatatusila yang diajarkan oleh Islam. 

Saudaraku,

Khutbah minggu ini mengajak para jemaah untuk sama-sama menghayati salah satu adab yang diajarkan oleh Al-Quran. Ayat ini mengajar kita adab-adab berziarah serta nilai murni yang patut diperhatikan ketika menziarahi saudara kita. 

Tiada faedahnya jika seseorang itu melakukan suatu perbuatan yang mulia. Namun tidak memperhatikan nilai dan intipati yang ditujukan dari perbuatan tersebut.

Allah (s.w.t) berfirman:

Yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu masuk ke dalam mana-mana rumah yang bukan rumah kamu, sehingga kamu lebih dahulu meminta izin serta memberi salam kepada penduduknya; yang demikian adalah lebih baik bagi kamu, supaya kamu beringat (mematuhi cara dan peraturan yang sopan itu).” (Surah An-Nur: 27)

Ayat ini memberi suatu panduan yang begitu berharga dalam menziarahi saudara kita. Meskipun ayat ini memerintahkan kita untuk meminta izin terlebih dahulu sebelum menziarahi saudara kita. Namun, saya ingin mengajak saudara sekalian untuk perhatikan lafaz yang digunakan dalam ayat ini. 

Lafaz “Al-Uns” yang digunakan dalam ayat ini membawa erti apabila tuan rumah itu berasa senang hati dengan kedatangan tetamu. Allah (s.w.t) melarang kita daripada menziarahi saudara kita ketika beliau merasa kurang senang akan kehadiran tetamu di sisinya. 

Ini bermakna, sekiranya kita mendapati tuan rumah tidak senang dengan kedatangan kita, ataupun beliau tidak sedia untuk menerima tetamu. Maka, hendaklah kita berusaha untuk menziarahi beliau pada kesempatan yang lain. Semua ini adalah untuk menjaga hak tuan rumah. 

Imam Al-Tabari meriwayatkan kisah, mengapa ayat yang dibacakan sebentar tadi diturunkan. 

Diriwayatkan bahawa seorang wanita dari kaum Ansar berkata: Wahai Rasulullah, aku berada di rumahku dalam keadaan yang aku tidak suka dilihat oleh sesiapapun, sama ada bapa-ku mahupun anak lelaki. Ayahku sering datang dan masuk ke rumahku dan begitu juga dengan lelaki dari keluargaku yang lain, sedangkan aku dalam keadaan sedemikian. Bagaimana sebaiknya aku lakukan?” Maka turunlah ayat tersebut.

Subhanallah! Dari kisah ini, kita mendapati bahawa hatta orang yang mempunyai pertalian darah secara langsung dengan kita, seharusnya meminta izin untuk menziarahi. Apatah lagi yang menziarahi itu merupakan seorang kawan ataupun tiada pertalian darah secara langsung.

Saudaraku,  

Dalam usaha kita untuk menziarahi saudara-mara kita. Janganlah kita lupa akan adab yang telah dibicarakan sebentar tadi. Perhatikanlah adab mulia yang diajarkan oleh Islam.

Jangan sampai kehadiran kita ini menyusahkan ataupun membuat tuan rumah kita tidak senang dengan kewujudan kita. Mungkin seseorang itu tidak bersedia untuk menerima tetamu atas pelbagai sebab. Oleh itu, kita seharusnya memastikan bahawa tuan rumah itu bersedia untuk menerima tetamu.

Begitu juga ketika berada di rumah mereka. Tundukkanlah pandangan kalian. Jagalah ucapan, dan elakkan daripada memberikan komen-komen yang tidak disenangi oleh tuan rumah. Sepertimana kita tidak suka untuk dilakukan sebegitu, begitu jugalah seharusnya kita tidak lakukan terhadap mereka.

Kerana orang mukmin yang sejati itu, memerhatikan adab dan tingkah lakunya. Sehinggakan insan di sekitarnya merasakan senang berurusan dengannya. 

Semoga Allah (s.w.t) memberkati usaha kita dalam menziarahi satu sama lain dan Dia mengurniakan kita akhlak yang mulia. Ameen Ya Rabbal Alamin.

أَقُوْلُ قَوْلِي هَذَا وَ أَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِي وَ لَكُمْ، فَاسْتَغْفِرُوهُ إِنَّهُ هُوَ الغَفُوْرُ الرَّحِيْم

 

Khutbah Kedua

الحَمْدُ للهِ حَمْدًا كَثِيرًا كَمَا أَمَرَ، وَأَشْهَدُ أَن لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِينَ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله، اِتَّقُوا اللهَ تَعَالَى فِيمَا أَمَرَ، وَانتَهُوا عَمَّا نَهَاكُم عَنْهُ وَزَجَرَ.

أَلَا صَلُّوا وَسَلِّمُوا عَلَى النَّبِيِّ الْمُصْطَفَى، فَقَدْ أَمَرَنَا اللهُ بِذَلِكَ حَيْثُ قَال فِي كِتَابِهِ العَزِيزِ: إِنَّ اللهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَـا أَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا صَلُّوا عَلَيهِ وَسَلِّمُوا تَسلِيمًا. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَ بَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ.

وَارْضَ اللَّهُمَّ عَنِ الخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ المَهْدِيِّينَ أَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ وَعُثْمَانَ وَعَلِيِّ، وَعَن بَقِيَّةِ الصَّحَابَةِ وَالقَرَابَةِ وَالتَّابِعِينَ، وَتَابِعِي التَّابِعِينَ، وَعَنَّا مَعَهُم وَفِيهِم بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ.

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلمُؤْمِنِينَ وَالمُؤْمِنَاتِ، وَالمُسْلِمِينَ وَالمُسْلِمَاتِ، الأَحْيَاءِ مِنهُم وَالأَمْوَاتِ. اللَّهُمَّ ادْفَعْ عَنَّا البَلَاءَ وَالوَبَاءَ وَالزَّلَازِلَ وَالمِحَنَ، مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ، عَن بَلَدِنَا خَاصَّةً، وَسَائِرِ البُلْدَانِ عَامَّةً، يَارَبَّ العَالَمِينَ. رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنيَا حَسَنَةً، وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ. 

عِبَادَ اللهِ، إِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِالعَدْلِ وَالإِحْسَانِ وَإِيتَاءِ ذِي القُرْبَى، وَيَنْهَى عَنِ الفَحْشَاءِ وَالمُنكَرِ وَالبَغْيِ، يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ، فَاذكُرُوا اللهَ العَظِيمَ يَذْكُركُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدكُمْ، وَاسْأَلُوهُ مِن فَضلِهِ يُعطِكُم، وَلَذِكرُ اللهِ أَكبَرُ، وَاللهُ  يَعلَمُ مَا تَصنَعُونَ.

 https://muslimsg.app/v1/khutbah_contents/382

No comments:

Post a Comment

  Royal Family of the United States These satanists are actually some of Trumps secret handlers. After all the satanic trash the Bushs did t...