☆Tadabbur Kalamullah 30 Ramadhan 1444H☆
فَقُلۡتُ ٱسۡتَغۡفِرُوا۟ رَبَّكُمۡ إِنَّهُۥ كَانَ غَفَّارࣰا
"Sehingga aku berkata (kepada mereka): Pohonkanlah ampun kepada Tuhan kamu, sesungguhnya adalah Ia Maha Pengampun" [Surah Nuḥ 10]
#Antara matlamat kedatangan Ramadhan ialah untuk menyucikan dan membersihkan dosa-dosa kita yang telah lalu dan dosa yang sedang dilakukan.
#Nabi saw juga berpesan kepada Sayidatina Aisyah r.ha agar banyakkan berdoa memohon keampunan terutama di malam lailatul qadar.
#Sebagai seorang manusia biasa yang tidak lari daripada melakukan kesilapan dan kesalahan, maka kita perlu melazimi istighfar di dalam kehidupan seharian kita khususnya di bulan Ramadhan yang menjanjikan keampunan dan rahmatNya.
#Sesiapa yang beristighfar,
maka Allah akan ampunkan dosanya walaupun sebanyak buih di lautan. Ini berdasarkan sabda Nabi saw:
غَفَرَ اللهُ تعالى ذُنوبَهُ ولو كانتْ مِثْلَ زَبَدِ البَحْرِ
“Maka Allah Taala akan mengampunkan dosa-dosanya walaupun sebanyak buih di lautan" (Riwayat Ibn al-Sunni)
#Sebelum berakhirnya Ramadhan maka ambillah peluang keemasan yang ada sehari lagi untuk memperbanyakkan memohon keampunanNya terutama beristighfar di hari Jumaat.
#Daripada Sayidina Anas bin Malik r.a, bahawa Rasulullah saw bersabda:
مَنْ قال صَبيحَةَ يَوْمِ الجُمُعَةِ قَبْلَ صَلاةَ الغَدَاةِ: أسْتَغْفِرُ اللهَ الذِي لا إلهَ إلَّا هُوَ الحَيَ القَيومَ وأتُوبُ إلَيْهِ ثلَاثَ مَرَات، غَفَرَ اللهُ تعالى ذُنوبَهُ ولو كانتْ مِثْلَ زَبَدِ البَحْرِ
“Barangsiapa yang beristighfar pada pagi hari Jumaat sebelum menunaikan solat pagi. Dengan mengatakan “Aku memohon ampun kepada Allah, Tiada Tuhan melainkan-Nya, yang Maha Hidup, Maha Kekal Mentadbir dan aku bertaubat kepada-Nya sebanyak tiga kali. Maka Allah Taala akan mengampunkan dosa-dosanya walaupun sebanyak buih di lautan" (Riwayat Ibn al-Sunni)
#Bersempena esok Jumaat terakhir Ramadhan, maka perbanyakkanlah istighfar dan taubat. Berkata Imam an-Nawawi rahimahullah:
"Disunatkan kepada kita untuk memperbanyakkan berzikir dan berselawat kepada Nabi saw pada hari Jumaat berbanding hari-hari lain. Selain itu, kita juga disunatkan untuk memperbanyakkan berdoa pada hari tersebut bermula dari terbitnya fajar sehingga terbenamnya matahari". (Lihat: al-Azkar)
#Dengan beristighfar kita sememangnya dapat memanfaatkan masa dengan amalan yang mendatangkan banyak manfaat dan pahala. Sama ada sedang berehat atau bekerja, bibir sentiasa melafazkan zikir dan istighfar membolehkan kita mengingati Allah setiap masa.
#Seorang ulamak berkata: “Tanda orang yang arif (bijak) itu ada enam. Apabila ia menyebut nama Allah, ia berasa bangga. Apabila menyebut dirinya, ia merasa hina. Apabila memperhatikan ayat-ayat Allah swt, ia ambil pelajarannya. Apabila muncul keinginan untuk bermaksiat, ia segera mencegahnya. Apabila disebutkan ampunan Allah swt, ia merasa gembira. Dan apabila mengingat dosanya, ia segera beristighfar.” (Lihat: Kitab Tanbihu al-Ghafilin)
♡Dikesempatan akhir Ramadhan ini, marilah kita memperbanyakkan istighfar dan taubat kepadaNya agar Ramadhan meninggalkan kita dalam keadaan segala dosa kita diampuni Allah swt♡
🐊Ust naim
Klik link ini untuk JOIN
http://bit.ly/tadabburkalamullah
Facebook:
https://m.facebook.com/tadabburkalamullah
No comments:
Post a Comment