PERISTIWA PEMBERONTAKAN SEPOY
Peristiwa pemberontakan Sepoy atau Sepoy Mutiny pada tahun 1915 merupakan suatu peristiwa hitam dalam sejarah Tanah Melayu yang jarang didedahkan kepada umum.
Peristiwa itu merupakan satu peristiwa yang sukar dilupakan dalam lembaran sejarah kerana ia merupakan tindak balas askar Sepoy yang terdiri daripada masyarakat India-Muslim menentang pihak penjajah British di Singapura.
Bagi askar Sepoy khususnya, mereka membantah arahan British untuk dihantar ke Timur Tengah bagi membantu ‘revolusi Arab’ untuk menjatuhkan Daulah Uthmaniyah di Turki.
Sebagai umat Islam, para askar Sepoy dalam pasukan British 5th Light Infantry di Singapura itu juga enggan untuk ‘bersumpah taat setia’ kepada Queen Elizabeth I dalam menentang Daulah Uthmaniyah; walaupun terpaksa membayar harga tinggi dengan sebahagian dari mereka dijatuhkan hukuman mati.
Dengan pengaruh fatwa-fatwa yang disebarkan oleh Moulana Nur Alam Shah – Imam Masjid Hajjah Fatimah pada ketika itu, para askar Sepoy sebaliknya bangkit menentang British.
Selain Moulana Nur Alam Shah, terdapat dua lagi individu penting yang memainkan peranan penting dalam pemberontakan Sepoy itu. Mereka ialah Kassim bin Ali Mansoor yang merupakan saudagar dari Surat (India). Beliau bertanggung-jawab mengetuai gerakan menentang British. Yang kedua ialah Editor Majalah Al-Islam iaitu K Anang.
Pada awalnya, pasukan British 5th Light Infantry yang ditempatkan di Singapura sejak Oktober 1914 itu telah bersiap sedia untuk dikerahkan ke Hong Kong. Bagaimanapun, mereka kemudiannya mendapat arahan dihantar ke Turki untuk memerangi Daulah Uthmaniyah yang pada ketika itu menyebelahi Jerman dan Central Powers yang sedang menentang British dan Allied Powers.
Kemuncaknya ialah apabila 850 askar Sepoy mengambil keputusan untuk menentang British.
Tanggal 15 Februari 1915 jam 3 petang, merupakan titik bermulanya Sepoy Mutiny apabila para askar Sepoy menyerang Tanglin Barracks dan Alexandra Barracks serta membebaskan lebih 300 tahanan Jerman yang ditahan oleh British; ini termasuk anak-anak kapal HMS Emden.
Kapal HMS Emden merupakan kapal laut Jerman yang berpangkalan di China dan kapal itu digunakan untuk menyerang kepentingan Allied Powers di Lautan Hindi menjelang Perang Dunia I. Kapal perang tersebut telah mengebom Madras (India) pada 2 September 1914 dan Pulau Pinang pada 8 Oktober 1914 termasuk berjaya mengebom kapal perang Rusia dan Perancis.
Dalam pelayaran untuk mengebom Naval Base di Singapura, kapal perang tersebut bertembung dengan kapal perang Australia iaitu Sydney di Cocos Island dan berlaku pertempuran selama satu jam setengah. Akhirnya, anak-anak kapal HMS Emden berjaya ditumpaskan dan mereka dijadikan tahanan di Singapura pada 15 Disember 1914.
Bagi mengekang serangan para askar Sepoy, British meminta bantuan ketenteraan dari Perancis, Rusia dan Jepun pada 17 Februari 1915. Hasilnya, seramai 432 askar Sepoy berjaya diberkas di kawasan utara Singapura.
Pada 20 Februari 1915 pula, seramai 180 lagi askar Sepoy berjaya diberkas di Johor. Turut dirampas ialah 81 laras senapang, 75 bilah bayonet dan 3000 butir kelongsong peluru.
Rentetan daripada peristiwa itu, 205 askar Sepoy dibicarakan di Singapura pada 23 Februari 1915. Natijahnya, seramai 44 askar Sepoy dijatuhkan hukuman mati dan 73 askar Sepoy dipenjarakan antara 7 hingga 20 tahun. Saki-baki 673 askar Sepoy pula dipindahkan ke Cameroon dan East Africa pada 3 Julai 1915.
Apa yang menyedihkan lagi, seramai 41 askar Sepoy dikenakan hukuman tembak oleh Firing Squad dari Singapore Volunteer Corps (SVC) di Outram Prison dengan disaksikan lebih daripada 15 000 orang awam. Manakala 3 lagi askar Sepoy dijatuhi hukuman gantung sampai mati di Outram Prison.
Kassim bin Ali Mansoor pula dihukum gantung atas tuduhan memiliki satu salinan surat yang diutuskan melalui anaknya kepada Honorary-Consul Daulah Uthmaniyah di Rangoon (Myanmar) yang menggesa Daulah Uthmaniyah membantu usaha para Sepoy di Singapura menentang British.
Sebenarnya, Singapura hampir berjaya ditawan oleh pihak pemberontak Sepoy pada ketika itu. Bagaimanapun, mereka gagal kerana kelemahan kepimpinan mereka dalam melancarkan serangan. Sebaliknya British cepat bertindak dengan mendapatkan bantuan luar seperti Rusia, Perancis dan Jepun bagi mengekang pemberontakan tersebut.
Peristiwa itu menjadi igauan kepada British dan sejak tahun 1922 mereka tidak lagi bergantung kepada para askar Sepoy bagi menjaga dan mengawal wilayah-wilayah jajahannya.
Selepas kejadian Sepoy Mutiny, British mula memasang ‘mata-mata’ di kalangan masyarakat Islam di Singapura.
Ketika satu mesyuarat pemimpin Islam diadakan di Singapura pada 6 Mac 1915, seramai 3000 orang menghadiri mesyuarat tersebut. Pihak British bertindak licik dengan menghantar para perisik dari India untuk menyelinap di kalangan hadirin supaya kehadiran mereka tidak disedari oleh orang ramai.
Hasilnya, seramai 5 orang berjaya ditangkap kerana didakwa bertanggung-jawab menyebarkan hasutan menentang British.
Peristiwa itu telah membangkitkan kemarahan masyarakat Islam terhadap British apabila mengetahui saudara seugama mereka dibunuh dan ditahan di Singapura.
Berita itu cepat tersebar sehingga ke Tanah Melayu yang membawa kepada kebangkitan menentang British di Pasir Puteh (Kelantan) yang diketuai oleh Haji Mat Hassan bin Munas atau Tok Janggut pada April 1915.
Kredit: JejakWarisanSingapura
No comments:
Post a Comment