Saturday, 9 December 2023

 ☆Tadabbur Kalamullah 25 Jamadil Awwal 1445H☆


وَٱبۡتَغِ فِیمَاۤ ءَاتَىٰكَ ٱللَّهُ ٱلدَّارَ ٱلۡـَٔاخِرَةَۖ وَلَا تَنسَ نَصِیبَكَ مِنَ ٱلدُّنۡیَاۖ وَأَحۡسِن كَمَاۤ أَحۡسَنَ ٱللَّهُ إِلَیۡكَۖ وَلَا تَبۡغِ ٱلۡفَسَادَ فِی ٱلۡأَرۡضِۖ إِنَّ ٱللَّهَ لَا یُحِبُّ ٱلۡمُفۡسِدِینَ 


"Dan carilah pada apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu (kebahagiaan) negeri akhirat, dan janganlah kamu melupakan bahagianmu dari (kenikmatan) duniawi dan berbuat baiklah (kepada orang lain) sebagaimana Allah telah berbuat baik, kepadamu, dan janganlah kamu berbuat kerosakan di (muka) bumi. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berbuat kerosakan" [Surah Al-Qaṣaṣ 77]


#Ayat ini mengingatkan manusia mengenai:


1. Carilah pahala negeri akhirat dengan harta kekayaan yang di kurniakan Allah kepada kita, sebab kehidupan ini hanya sementara dan kehidupan akhirat itu yang kekal abadi. 


2. Janganlah kita melupakan bahagian kita daripada kenikmatan dunia, iaitu harta yang halal. Hiduplah dalam rumah yang baik, pakailah kenderaan yang selesa dan bahagialah dengan isteri yang solehah, mudah-mudahan dengan semua itu, kita akan mendapat kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat juga.


3. Berbuat baiklah kepada orang lain sebagaimana Allah swt telah berbuat kepada kita dengan berakhlak yang baik, bertutur kata yang baik, berlapang dada dan berbelas kasihan kepada semua manusia lebih-lebih lagi kepada golongan fakir miskin dan anak-anak yatim.


4. Jangan berbuat kerosakan di muka bumi. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang suka membuat kerosakan. Sesungguhnya berbuat kerosakan itu akan merugikan diri sendiri dan orang lain, dan boleh memutuskan silaturrahim. Antara kerosakan itu ialah melakukan penganiayaan atau kezaliman seperti menganggu keamanan, menyakiti hati sesama manusia, menipu, mencari keuntungan semata-mata untuk diri sendiri dengan melupakan kerugian orang lain dan sebagainya. Mudah-mudahan kita akan terus menjalani kehidupan di dunia ini sesuai dengan kehendak Allah swt iaitu dengan memperolehi kehidupan yang baik dan berjaya di dunia dan di akhirat serta dijauhkan dari azab neraka di akhirat. 


#Pastikan hidup kita mengutamakan akhirat daripada dunia. Rasulullah saw mengingatkan di dalam sabdaannya, khusus kepada manusia yang menjadikan dunia ini sesuatu yang besar di hatinya bahawa dia akan menyesal kelak. 


#Daripada Sayidina Zaid bin Sabit r.a berkata, aku mendengar Rasulullah saw bersabda: “Siapa yang dunia menjadi keinginan terbesar di hatinya, maka Allah akan cerai beraikan urusannya. Dan Allah jadikan kefakiran di antara kedua matanya. Dan dunia tidak mendatanginya kecuali yang dituliskan saja untuknya. Dan siapa yang akhirat itu menjadi niat utamanya (keinginan terbesar di hatinya akhirat), Allah akan kumpulkan urusannya, dan Allah akan jadikan kekayaan di hatinya dan dunia akan mendatanginya dalam keadaan dunia itu hina di matanya" (HR Ibnu Majah)


#Rasulullah saw mencela orang yang keinginan terbesar di hatinya kepada dunia. Apa yang terjadi kepada orang seperti ini? Allah akan cerai-beraikan urusannya. Apa maksudnya? Ertinya Allah cerai beraikan kekuatan dia. Orang ini akan mudah putus asa ketika ditimpa musibah. Hatinya akan penuh dengan penyakit-penyakit hati seperti cinta dunia yang berlebihan, penyakit dengki, tamak bahkan sampai peringkat menghalalkan yang haram demi untuk mendapatkan dunia. Sangat susah bagi orang yang seperti ini untuk ikhlas. Dia akan ikhlas jika ternyata ada kepentingan dunia, bukan kerana Allah swt tetapi untuk dunianya. Ketika sembahyang atau berbuat kebaikan, niat terbesarnya supaya dapat dunia, maka amalan yang seperti ini tercela di sisi Allah dan sia-sia malah mendapat azab api neraka. 


♡Burulah keuntungan, kekayaan, kesenangan dan kebahagiaan akhirat kerana kehidupan yang sebenar serta selama-lamanya adalah di akhirat. Ambillah bahagian kita didunia namun jangan sampai diperdaya dan ditipu oleh godaan dunia♡


🐊Ust naim

Klik link ini untuk     

http://bit.ly/tadabburkalamullah


Facebook:    

https://m.facebook.com/tadabburkalamullah




No comments:

Post a Comment

  NATO-KIEV TERRORISM for BIOLOGICAL WARFARE. Russia’s Chemical Defense Chief KILLED in Moscow Blast Fabio G. C. Carisio December 19, 2024 B...