☆Tadabbur Kalamullah 29 Jamadil Akhir 1445H☆
أَلَمۡ تَرَ إِلَى ٱلَّذِینَ یُزَكُّونَ أَنفُسَهُمۚ بَلِ ٱللَّهُ یُزَكِّی مَن یَشَاۤءُ وَلَا یُظۡلَمُونَ فَتِیلًا
"Tidakkah engkau perhatikan (dan merasa pelik wahai Muhammad) kepada orang-orang yang membersihkan (memuji) diri sendiri? (Padahal perkara itu bukan hak manusia) bahkan Allah jualah yang berhak membersihkan (memuji) sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan SyariatNya); dan mereka pula tidak akan dianiaya (atau dikurangkan balasan mereka) sedikitpun" [Surah an-Nisāʾ 49]
#Sifat suka memuji diri sendiri bukan sahaja kurang disenangi oleh kebanyakan orang, malah ia dilarang dan dibenci oleh Allah swt dan juga nabiNya.
#Para mufassirin mengatakan ayat ini diturunkan untuk menegur kaum Yahudi yang menganggap diri mereka dan anak-anak mereka bersih daripada sebarang dosa. Sebahagian mereka berpendapat bahawa ayat ini diturunkan untuk mengecam mereka yang saling memuji dan mensucikan diri dari melakukan kesalahan dan kesilapan.
#Sayidina al-Miqdad bin al-Aswad r.a berkata: Rasulullah saw memerintahkan kami supaya menabur pasir ke muka orang-orang yang suka memuji" (HR Muslim)
#Diriwayatkan oleh Sayidina Abdullah bin Abi Bakrah r.a daripada ayahnya r.a. bahawa Rasulullah saw mendengar seorang lelaki memuji-muji seorang lelaki lain. Baginda pun bersabda: “Buruknya engkau! Engkau memotong leher sahabatmu!”. Kemudian baginda menyambung: "Sekiranya seseorang kamu tidak boleh mengelak daripada memuji sahabatnya, hendaklah dia berkata:" Pada sangkaanku dia adalah begini”. Janganlah dia mensucikan seseorang kerana hal itu adalah hak Allah semata-mata” (Muttafaq ‘alaih)
#Ibn Mardawaih meriwayatkan bahawa Sayidina Umar r.a pernah berkata: “Sesungguhnya perkara yang paling aku takuti menimpa kamu ialah seseorang yang mengkagumi pandangannya sendiri (tentang dirinya). Sesiapa yang berkata bahawa dia alim, maka dia jahil. Sesiapa yang berkata dia pasti masuk syurga, maka dia pasti masuk neraka.”
#Ini memberi petunjuk kepada kita bahawa Nabi saw tidak menggalakkan seseorang memuji sahabatnya secara berlebih-lebihan. Jika terpaksa, ucapkan secara sederhana dan berlapik seperti yang anjurkan oleh baginda saw dengan berkata “pada sangkaanku begini” iaitu nyatakan kebaikan apa yang hendak dipuji itu dengan menyatakan bahawa ini adalah sangkaan kita sahaja.
#Persoalan, kenapa Islam melarang memuji diri sendiri atau orang lain secara berlebihan? Bukankah pujian itu merupakan mengiktirafan dan menjadi satu galakan untuk bekerja dengan lebih gigih dan bersemangat?
#Ini kerana, Islam menekankan keikhlasan dalam beramal. Ujub atau kagum pada diri sendiri dan riyak atau menunjuk-nunjuk adalah dua sifat yang berlawanan dengan ikhlas. Pujian yang berlebihan-lebihan akan menjerumuskan seseorang kepada salah satu daripada dua sifat tersebut, iaitu ujub atau riyak.
#Apabila kedua-duanya sifat itu menyelinap di dalam hati, ikhlas pun tersingkir. Amalan tidak lagi bernilai di sisi Allah swt. Ia laksana debu yang berterbangan ditiup angin yang kencang walaupun asalnya kelihatan seperti timbunan bukit yang tinggi menjulang awan.
#Dari sudut pandang yang lain, sebagai manusia penilaian kita amat terbatas. Kita melihat seseorang hanya pada zahirnya sahaja. Hakikat sebenar hanya Allah jua yang maha mengetahui.
♡Hanya Allah swt jua yang benar-benar mengetahui keadaan setiap hambaNya dan Dia tidak tersilap di dalam penilaianNya kerana Dia mengetahui segala yang nyata mahupun yang tersembunyi. Ikhlaslah dalam semua perkara!!♡
🐊Ust naim
Klik link ini untuk
http://bit.ly/tadabburkalamullah
Facebook:
https://m.facebook.com/tadabburkalamullah
No comments:
Post a Comment