Monday, 24 August 2026

☆Tadabbur Kalamullah 11 Rabiulawal 1448H☆


وَمِنۡ ءَایَـٰتِهِۦۤ أَنۡ خَلَقَ لَكُم مِّنۡ أَنفُسِكُمۡ أَزۡوَ ٰ⁠جࣰا لِّتَسۡكُنُوۤا۟ إِلَیۡهَا وَجَعَلَ بَیۡنَكُم مَّوَدَّةࣰ وَرَحۡمَةًۚ إِنَّ فِی ذَ ٰ⁠لِكَ لَـَٔایَـٰتࣲ لِّقَوۡمࣲ یَتَفَكَّرُونَ 


"Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir" [Surah ar-Rūm 21]


#Ayat ini menjelaskan tentang konsep keluarga sakinah itu kehidupan keluarga yang dihiasi ketenangan, kedamaian, rasa cinta, kasih, dan bara keinginan yang kuat terhadap pasangan, rasa sayang, kelembutan, kepedulian, sikap saling memaafkan serta rasa tenteram jiwa yang diperoleh dalam ikatan pernikahan. Jom hayati kisah keluarga sakinah di bawah ini.


#Sayidatina Fatimah merupakan anak perempuan Rasulullah saw yang paling bongsu. Beliau dilahirkan 5 tahun sebelum Rasulullah saw dilantik menjadi Rasul. Menjadi kebiasaan ibunya, Sayidatina Khadijah apabila melahirkan anak beliau akan menyerahkan anaknya untuk disusukan oleh ibu susuan. Namun apabila beliau melahirkan Fatimah maka beliau sendiri yang menyusukannya.


#Sayidatina Fatimah digelar al-Zahra’ kerana wajahnya yang putih bersinar dan bercahaya sebagaimana bapanya. Beliau juga digelar al-Batul. Asal maksud dari segi bahasa al-Batul ialah memutus dan memotong. Sebab beliau digelar al-Batul kerana beliau memotong dan mendahului wanita pada zamanya dan wanita lain di kalangan umat Islam ini dari segi menjaga kehormatan diri, kelebihan, agama dan silsilah keturunan.


#Perwatakan beliau saling tidak tumpah dengan Rasulullah saw. Khadam Rasulullah saw, Sayidina Anas bin Malik berkata: "Tidak ada seorang pun yang menyerupai Rasulullah saw melainkan Sayidina al-Hasan bin Ali dan Sayidatina Fatimah"


#Sayidatina Aisyah berkata: "Aku tidak pernah melihat seorang pun di kalangan manusia yang menyerupai Nabi dari segi percakapan dan cara duduknya melainkan Sayidatina Fatimah"


#Sayidina Abu Bakar dan Sayidina Umar pernah meminang beliau untuk dijadikan isteri namun telah ditolak oleh Rasulullah dengan alasan beliau masih muda. Apabila Sayidina Ali pula meminangnya maka baginda menerima dan mengahwinkannya. Sayidina Ali lebih tua 5 tahun berbanding Sayidatina Fatimah. Sebuah baju besi telah dijadikan mahar perkahwinan yang penuh keberkatan ini. 


#Hasil perkongsian hidup bersama Sayidina Ali, mereka telah dikurniakan 5 orang anak; Al-Hasan, Al-Husain, Muhassin, Ummu Kulthum, Zainab. 


#Sayidatina Fatimah merupakan ahli keluarga baginda yang paling awal menyusuli baginda. Tempoh antara kewafatan Rasulullah dengan kewafatan Sayidatina Fatimah hanya sekitar 6 bulan. Usia beliau ketika meninggal dunia ialah 29 tahun.


#Jenazah beliau dimandikan oleh Sayidatina Asma’ binti ‘Umais (isteri Sayidina Abu Bakar) dibantu oleh Sayidina Ali. Solat jenazahnya telah diimamkan oleh Sayidina Abu Bakar as-Siddiq dan ada pendapat lain yang mengatakan Sayidina Ali yang mensolatkan jenazahnya. Jenazah dikebumikan di perkuburan Baqi’.


#Sabda Rasulullah saw:


 إِنَّمَا فَاطِمَةُ بَضْعَةٌ مِنِّي يُؤْذِينِي مَا آذَاهَا


"Sesungguhnya Fatimah adalah sebahagian daripadaku. Sesiapa menyakitinya maka dia menyakitiku" (HR al-Bukhari dan Muslim) 


#Sabda Nabi saw:


أَفْضَلُ نِسَاءِ أَهْلِ الْجَنَّةِ: خَدِيجَةُ بِنْتُ خُوَيْلِدٍ ، وَفَاطِمَةُ بِنْتُ مُحَمَّدٍ ، وَآسِيَةُ بِنْتُ مُزَاحِمٍ امْرَأَةُ فِرْعَوْنَ، وَمَرْيَمُ ابْنَةُ عِمْرَانَ


"Sebaik-baik wanita ahli syurga ialah Khadijah binti Khuwailid, Fatimah binti Muhammad, Asiah binti Muzahim isteri firaun dan Maryam binti Imran" (HR Ahmad)


♡Moga kita juga dikurniakan keluarga bahagia sebagaimana anakanda Rasulullah saw. Aamiiin♡


🐊Ust Naim

*Telegram Channel*

Klik untuk join:

http://bit.ly/tadabburkalamullah


*Facebook Page:*

https://m.facebook.com/tadabburkalamullah

No comments:

Post a Comment

​ ☆Tadabbur Kalamullah 11 Rabiulawal 1448H☆ وَمِنۡ ءَایَـٰتِهِۦۤ أَنۡ خَلَقَ لَكُم مِّنۡ أَنفُسِكُمۡ أَزۡوَ ٰ⁠جࣰا لِّتَسۡكُنُوۤا۟ إِلَیۡهَ...